PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup gading gajah, tanduk badak sumbu, sisik tenggiling, taring harimau, tengkorak dan tulang haiwan di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Ahad lalu.
Penyeludup dipercayai menggunakan modus operandi memuatkan kayu gergaji dalam kontena berisi barang terlarang itu yang dimuatkan dalam tiga kontena menerusi sebuah kapal.
Menurut Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan, Pasukan Operasi Darat JKDM Zon tengah telah memantau pergerakan kapal yang membawa tiga kontena berisiko yang dipercayai berasal dari Afrika.
Katanya, daripada pemeriksaan saringan menggunakan mesin pengimbas ke atas sebuah kontena, didapati membawa barang larangan berkenaan.
“Manakala dua kontena lagi yang diisi dengan kayu gergaji turut mempunyai barang larangan itu.
“Daripada pemeriksaan fizikal ke atas kontena berkenaan didapati ada gading gajah, tanduk badak sumbu, sisik tenggiling, taring harimau, tanduk haiwan, tengkorak haiwan dan tulang haiwan yang disorok di belakang timbunan kayu gergaji,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam di Pelabuhan Utara di sini, petang ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat gading gajah dianggarkan seberat 6,000 kilogram, tanduk badak sumbu (29 kg), sisik tenggiling (100 kg), tanduk haiwan (14 kg) dan tengkorak serta tulang haiwan dipercayai harimau (300 kg).
Jelas beliau, semua barang larangan yang dirampas itu dianggarkan bernilai kira-kira RM80 juta tidak melibatkan cukai atau duti dan merupakan rampasan terbesar dalam tempoh 10 tahun.
Kata Zazuli, dagangan adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabnagsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686), kecuali dengan permit yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
“Berikutan rampasan itu, kita melakukan siasatan ke atas pengimport dan ejen perkapalan berkenaan,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengimport barang tak berkastam atau apa-apa barang larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette