KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa masih terdapat takungan air buatan manusia di Gunung Inas.
Justeru itu, beliau meminta agar Kementerian Tenaga dan Sumber Asli memastikan samada kawasan di sekitar kaki Gunung Inas di Baling, Kedah selamat untuk diduduki.
“Masih lagi ada takungan air di atas, yang sudah pecah tiga dan yang ada ini sebesar padang bola sepak.
“Kalau takungan ini pecah, daripada hutan sudah jadi ‘lebuh raya’ sebesar dua kali Sungai Pahang.
“Ia masih lagi ada takungan yang dibuat oleh manusia, dan tidak ada paip, mereka tadah tanah dan letak plastik hijau dan tadah air,” katanya ketika membahaskan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (pindaan 2022), hari ini.
Minggu lalu, Abdul Azeez berkata, Gunung Inas dianggap umpama ‘bom jangka’ yang merisikokan kira-kira 2,000 penduduk Kampung Iboi di Kupang dan sekitarnya.
Katanya, ini kerana bencana kepala air berkenaan mungkin boleh berulang lagi pada bila-bila masa dan menyebabkan rakyat menjadi mangsa, sekali gus mendesak kerajaan mencari penyelesaian segera.
Daerah Baling mengalami banjir lumpur pada 4 Julai lalu yang mengakibatkan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara dengan lebih 80 rumah terjejas.
Banjir lumpur itu turut meragut tiga nyawa, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu. – MalaysiaGazette