M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai penahanan ahli parti berhubung penyelewengan Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya).

Menteri Sumber Manusia itu juga turut mengesahkan tiada sebarang operasi dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kementeriannya.

“Tiada operasi dekat KSM. Saya sudah kata semalam yang saya tidak ada laporan tetapi cuma kata sekiranya ada orang MIC kena tangkap, jangan kaitkan dengan parti.

“Setakat ini, saya tiada maklumat, siapa kena tangkap siapa belum. Sila minta dekat SPRM, saya tiada jawapan,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu beliau bersama Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Hamzah Zainudin menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa bersama mengenai pengurusan pekerja asing.

Sehingga hari ini, SPRM telah berjaya memberkas 42 individu termasuk dua pada hari ini berhubung kes penyelewengan Penjana Kerjaya.

SPRM dilaporkan menyiasat beberapa syarikat dan individu dan menjangka membuat beberapa tangkapan lain selepas menahan 37 individu dalam Op Hire.

Pada Jumaat lalu, seorang kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) antara tiga individu ditahan SPRM selepas dipercayai terlibat menyeleweng RM100 juta dana itu.

Kesemua individu itu disyaki mengambil kesempatan menggunakan platform program Penjana Kerjaya untuk membuat tuntutan palsu.

Antara yang ditahan terdiri pengarah, pemilik, pengurus dan jurutera melibatkan 26 lelaki dan 11 wanita berusia antara 28 hingga 70 tahun daripada 64 buah syarikat sendirian berhad.

Syarikat itu sepatutnya membuat latihan dan menggaji pekerja dalam bidang industri, namun siasatan mendakwa ia mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana program berkenaan.

Majikan terlibat dipercayai mendapatkan data daripada orang luar atau berpakat dengan pembekal latihan untuk membuat tuntutan palsu dengan insentif yang ditawarkan itu manakala kebanyakan pekerja yang dikatakan bekerja dengan majikan berkenaan sebenarnya tidak pernah bekerja di syarikat itu.

Program Penjana Kerjaya merupakan satu inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020.

Program itu dilaksanakan oleh PERKESO bagi tujuan merangsang ekonomi negara dengan mewujudkan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran.- MalaysiaGazette