BALING – “Saya bersyukur sangat meskipun bantuan ini tidak banyak tapi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) tidak pernah mengabaikan ahlinya yang ditimpa musibah.”
Demikian luah Shamsuri Mohd Daud, 54, yang merupakan mangsa tragedi kepala air dan banjir di Kupang di sini pada 4 Julai lalu.
Jelasnya, mereka empat sekeluarga mengalami kerugian besar akibat bencana itu ekoran bukan saja kediaman dimasuki air lumpur malah hampir semua harta benda termasuk kenderaan milik mereka rosak sepenuhnya.
“Saya, isteri serta anak berusia tiga tahun yang menetap bersama mertua di rumahnya di Kampung Hangus di sini kena mulakan hidup baru. Tak ada apa yang tinggal kecuali air mata yang tak kering-kering mengenangkan nasib yang menimpa semua penduduk yang terkesan akibat bencana itu.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana orang awam tidak putus-putus menyalurkan bantuan. Sama seperti Nafas buat hari ini, memang tak banyak mereka berikan tapi bila bagi wang tunai ia sedikit sebanyak meringgankan bebanan kami,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Shamsuri antara 150 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling yang menerima bantuan wang tunai daripada Nafas hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob di Dewan Pertubuhan Peladang.
Sementara itu, penerima, Abdul Wahab Samah berkata, bantuan Nafas itu memberikan kelegaan dan kegembiraan kepadanya sekeluarga.
Katanya, dia mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila tanaman jagung, pisang serta kelapa yang diusahakan sejak dua tahun lalu musnah sepenuhnya akibat bencana banjir baru-baru ini.
“Bukan sahaja itu, harta benda serta kediaman saya di Pasang Empang, Iboi turut rosak akibat kejadian sama. Memang bukan mudah untuk terima ini semua tetapi kami tiada pilihan selain bangkit semula mulakan kehidupan baru.
“Jadi sumbangan yang diberikan kepada kami amat melegakan. Memang tak banyak tapi mereka (Nafas) ingat kami meskipun ada antara kami sudah tidak melakukan tanaman lagi.
“Malah, sumbangan yang diberikan itu jika dicampur dengan sumbangan orang lain boleh meringgankan beban kami sedikit sebanyak,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan :
Nafas peruntuk lebih RM120,000 kepada ahlinya terkesan banjir di Baling