Zamri

BALING – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memperuntukkan lebih RM120,000 kepada kira-kira 600 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling yang terkesan akibat insiden kepala air dan banjir di Kupang di sini pada 4 Julai lalu.

Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, bantuan berupa wang tunai sebanyak RM200 bagi setiap ahli PPK itu disampaikan secara berperingkat bermula hari ini.

Jelas beliau, program tanggungjawab sosial (CSR) ini adalah diharap dapat meringankan sedikit sebanyak beban kerugian yang ditanggung ahli-ahli Peladang yang dilanda musibah banjir itu.

“Hari ini Nafas menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada 150 ahli PPK kawasan ini yang menjadi mangsa kepala air dan banjir di beberapa kampung di Kupang.

“Kita harap sumbangan wang tunai ini dapat meringankan sedikit beban ahli peladang serta memberi motivasi untuk mereka bangkit dan cekal dalam meneruskan kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan lain di PPK Baling di Dewan Pertubuhan Peladang di sini, hari ini.

Tambah beliau, mangsa terlibat didapati bukan sahaja berdepan kemusnahan tanaman atau ternakan, malah kerosakan harta benda serta kediaman.

“Nafas di peringkat induk sentiasa melihat keperluan ahli yang perlu diberi bantuan dengan peruntukan sewajarnya.

“Malah, Nafas tidak pernah melupakan hampir satu juta ahli peladang khususnya dari segi menyuntik bantuan kewangan serta
memperkasakan Pertubuhan Peladang agar terus maju,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Zamri berkata, hampir RM1.05 juta telah diperuntukan kepada ahli peladang yang terkesan akibat akibat pelbagai bencana sejak Januari lalu.

“Ia membabitkan ahli yang terkesan akibat bencana itu di Pahang, Selangor, Kelantan serta Terengganu,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast