KUALA LUMPUR – Program Peranti Siswa masih lagi dilaksanakan dan ia tetap diteruskan seperti yang dirancangkan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, tender terbuka program berkenaan telah dibuka dan untuk fasa pertama, Kementerian Kewangan mengarahkan kementeriannya memperbetulkan beberapa perkara yang perlu dilakukan.
“Itu telah menyebabkan berlaku kelewatan kerana tender terbuka yang kedua terpaksa dilakukan dan ia telah disiapkan,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Bagi fasa pertama, Annuar berkata, hampir 100,000 permohonan sedang diproses dan penyerahannya akan dibuat pada bulan hadapan.
Bagaimanapun, Annuar memberitahu, permohonan program dibawah kementeriannya telah ditutup bulan lalu.
Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) telah membuat keputusan untuk membuka semula permohonan Program Peranti Siswa fasa kedua mulai 1 Ogos sehingga 30 September depan.
“Dalam permohonan fasa kedua ini, kerajaan telah bersetuju untuk memperluaskan kelayakan bagi pemohon peranti di bawah Program Peranti Siswa,” ujarnya.
Tambah beliau, fasa kedua itu akan diperluaskan kepada pelajar Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Mereka yang datang daripada keluarga B40 yang pendapatan keluarga di bawah RM4,850 sebulan layak untuk membuat permohonan secara dalam talian mulai 1 Ogos dan akan ditutup pada 30 September bagi permohonan fasa kedua.
“Penyerahan peranti bagi fasa kedua dijangka dapat dilakukan sebaik sahaja proses permohonan fasa dua ditutup iaitu kira-kira pada bulan Oktober akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette