Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Rakyat perlu menekankan ‘Ketuanan Malaysia’ dan bukannya ‘Ketuanan Melayu’ sekiranya hendak kembali kepada prinsip dan dasar asas pembinaan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Menurut pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang, langkah itu perlu untuk mengelakkan Malaysia terus ditinggalkan di belakang.

Beliau mengulas mengenai kemungkinan seorang etnik berketurunan India akan dilantik menjadi Perdana Menteri United Kingdom yang baharu bagi menggantikan Boris Johnson.

“Bekas Menteri Kewangan United Kingdom, Rishi Sunak, kini berada di barisan hadapan empat orang dalam perlumbaan untuk menjadi Ketua Parti Konservatif – seorang lelaki dengan tiga orang wanita. Seorang dari wanita tersebut, Kemi Badenock, beretnik Nigeria.

“Seorang etnik India telah menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat, manakala seorang bekas rakyat Malaysia etnik Cina, Penny Wong, telah menjadi Menteri Luar Negeri di Australia,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Kit Siang berkata, di bawah peruntukan Perlembagaan seorang rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama atau kawasan boleh menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun dengan realiti politik negara ketika ini, beliau  menjangka tidak akan dapat melihat bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia sama ada ketika beliau atau anaknya masih hidup.

“Saya harap Malaysia tidak akan memerlukan 230 tahun sebelum seorang yang bukan Melayu berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi saya tidak jangka seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri dalam abad ke-21.

“Sama ada akan ada seorang Perdana Menteri bukan Melayu pada abad ke-22 atau ke-23 akan bergantung kepada sama ada politik identiti akan kekal mendominasi kuasa politik dalam landskap politik negara seperti hari ini,” kata Kit Siang.

Kit Siang mendakwa, sekiranya soalan pelantikan bukan Melayu menjadi perdana menteri dilontarkan kepada pemimpin negara pada enam puluh tahun dahulu mereka pasti tanpa ragu-ragu akan menjawab boleh kerana Perlembagaan negara membenarkan.

Namun jawapan yang sama tidak akan diperoleh hari ini kerana katanya, ada pemimpin politik secara terbuka mengatakan seorang bukan Melayu tidak boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana konsep “Ketuanan Melayu” yang dipopularkan selepas tahun 1986.

“Kita perlu tekankan “Ketuanan Malaysia” dan bukannya “Ketuanan Melayu” sekiranya kita hendak kembali kepada prinsip dan dasar asas pembinaan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara yang dipersetujui bersama oleh tokoh penubuhan negara…

“Untuk mengelakkan Malaysia terus ditinggalkan di belakang negara-negara lain dalam tahun-tahun dan dekad-dekad yang akan datang,” kata Kit Siang dalam blognya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sebelum kau duk sibuk cakap pasal PM UK laa..pasal US laa…baik kau cakap pasal DAP dulu..sejak DAP ditubuhkan, bilakah org Melayu pegang jawatan Setiausahan Agong DAP? Kenapa JK Eksekutif DAP sejak dulu 90% Cina? Dan lagi teruk ko anak beranak jer yg kuasai DAP… Dan dlm semua PRU, kenapa semua kaw parlimen yg majoriti Cina mcm di Penang hanya diwakili oleh bangsa yg sama dari DAP?? Kalau ada satu dua Melayu yg korang lantik rlm DAP tu pun yg jenis lembu cucuk hidung…Kau ni betul2 perkauman lah…

Comments are closed.