KUALA LUMPUR – Trend jualan ‘cedok-cedok’ di platform TikTok yang kini menjadi ikutan peniaga dibimbangi berisiko menggalak dan meningkatkan kes penipuan dalam talian.
Menerusi trend itu, pelbagai barangan seperti gula-gula, kerongsang dan alat solek dijual secara siaran langsung di media sosial dengan peniaga mencedok barangan menggunakan senduk, bakul atau mangkuk serta dijual dengan harga sekitar RM5 hingga RM1,000 setiap cedok.
“Dalam urusan membeli-belah, peletakan dan tawaran harga mestilah jelas. Menerusi trend ini, ada unsur seperti ‘main tikam-tikam’, dengan penipuan boleh berlaku.
“Ada unsur tidak jelas dari segi harga perlu dibayar dan kuantiti diperoleh iaitu kalau cedok sikit dapat sikit, kalau cedok banyak dapat banyak, sekali gus mendedahkan pengguna sama ada hasil cedok tersebut berbaloi dengan harga dibayar,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Justeru, Fomca menyeru pihak berkuasa terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau platform perniagaan dalam talian lebih teliti bagi melindungi pengguna.
Sementara itu, pakar syariah dan muamalat Dr Ahmad Sufian Che Abdullah berkata struktur jual beli tersebut mempunyai unsur ‘gharar’ atau tidak jelas yang diharamkan Nabi Muhammad SAW dan dikhuatiri membawa kepada ‘gharar’ tertinggi iaitu perjudian.
“Ada hadis menyebut bentuk jual beli dilarang oleh Nabi antaranya ‘gharar’ iaitu jual beli yang tidak diketahui atau pasti apa kita akan dapat.
“Dalam hadis lain, Nabi melarang Mulamasah iaitu jual beli dalam bentuk permainan pada zaman jahiliah, iaitu pembeli hanya menyentuh baju tanpa dibenarkan mengetahui warna dan saiz,” jelasnya yang juga Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Ahmad Sufian berkata walaupun terdapat persetujuan antara pembeli dan penjual tetapi ia dilarang kerana struktur jualan berbentuk tidak pasti telah wujud pada zaman jahiliah yang melanggar prinsip syarak.
Beliau berpandangan, sekiranya masih mahu meneruskan trend tersebut, peniaga sekurang-kurangnya perlu memberi kepastian kepada pengguna mengenai jumlah minimum barangan akan diperoleh ketika pembelian. – BERNAMA