KUALA LUMPUR – Seseorang pempengaruh (influencer) terkenal yang dikenakan saman selepas didapati tidak mempunyai lesen memandu tampil membuat laporan polis semalam.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, dekat sini, pukul 3 petang semalam susulan gambarnya dan gambar notis saman kesalahan trafik mengandungi butiran peribadinya tular di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pendedahan maklumat ekoran laporan yang diterima polis.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan tampil membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalur dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ishak Abu Bakar di talian 03-61262222 atau 011-39032329.
Terdahulu media melaporkan, pempengaruh itu disaman kerana didapati tidak mempunyai lesen memandu ketika ditahan dalam pemeriksaan di Jalan Raja Laut, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, lelaki berusia 20-an itu ditahan ketika sedang memandu kenderaan jenis Audi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, mengesahkan polis telah mengeluarkan notis saman terhadap individu terbabit.
Beberapa gambar berkaitan kejadian itu tular di laman media sosial dan individu yang disaman menerima kecaman netizen kerana pernah digelar sebagai Ikon Permotoran. – MalaysiaGazette