Iklan tawaran palsu menjadi ahli dan jualan lambang Persatuan Bekas Polis Malaysia yang tular brjaya dikesan polis.- Gambar ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Polis telah mengesan iklan tawaran palsu keahlian dan lambang Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) yang menawarkan pelbagai keistimewaan jika menjadi ahlinya.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tawaran palsu itu dikesan Bukit Aman menerusi satu hantaran yang mempromosi jualan lambang PBM di media sosial.

“Antaranya keistimewaan yang ditawarkan adalah perkhidmatan pengiring polis dengan bayaran RM300 bagi 10 kilometer malah pemilik kenderaan juga boleh memasang cermin gelap.

“Iklan itu turut mendakwa tiada sebarang tindakan akan dikenakan oleh pihak berkuasa sekiranya memandu dalam keadaan mabuk dengan menggunakan simbol berprestij itu.

“Malah iklan itu juga menyatakan orang ramai yang berminat boleh menghubungi individu yang nombornya turut tertera dalam iklan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noorsiah, rentetan daripada iklan palsu itu, polis sedang menjalankan siasatan terhadap individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkannya.

Menurut beliau, tiada sebarang kelebihan yang ditawarkan oleh mana-mana pihak seperti didakwa dalam iklan palsu tersebut.

“Orang ramai yang menerima iklan tawaran promosi sedemikian agar diminta untuk tidak terpengaruh atau menghubungi penama dinyatakan dalam iklan itu.

“Malah masyarakat juga diminta sentiasa merujuk kepada saluran media rasmi polis bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” tegasnya. – MalaysiaGazette