Datuk Seri Shafie Apdal .

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak tahu bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menulis dan menghantar surat kepada peguam mewakili Kesultanan Sulu.

Mohd. Shafie yang juga Presiden Warisan berkata, beliau bukan sebahagian daripada Kabinet Kerajaan Persekutuan pada ketika kejadian.

Beliau tidak pernah dimaklumkan langsung berhubung surat terbabit.

“Saya juga tidak tahu pun, kalau dia (Kabinet) tidak tahu, lagi lah saya tidak tahu, mana kita tahu kalau dia (Tommy) keluarkan (surat), kita tidak tahu surat ini berlaku.

“Jangan tanya saya, tanyalah dia (Tommy), saya mana ada kuasa untuk memberi arahan kepada AG (Peguam Negara) kalaulah perdana menteri pun didakwa tidak tahu apa lagi ketua menteri, tanya Tommy Thomas,” katanya seperti yang dilaporkan FMT.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat Warisan hari ini, Mohd Shafie bagaimanapun berkata, isu tuntutan Sulu harus segera diselesaikan kerana perkara berkenaan sebenarnya tidak wujud.

“Sepatutnya, seperti mana dikatakan daripada awal, bila sudah ada referendum, bila sudah ada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kedaulatan negara ini harus dipertahankan, suara rakyat sudah ada, kerana kita sudah pun merdeka dan maknanya tiada lagi hak-hak orang lain menuntut wilayah Sabah ini.

“Sepatutnya dari segi undang-undang, tuntutan bermula selepas perjanjian 1875, antara Sepanyol dan kerajaan yang ada pada waktu itu.

“Kalau kita nak bercakap mengenai sejarah, Sabah ini dahulu dimiliki Sultan Brunei, lepas itu, bila British takluki North Borneo (Sabah), tidak timbul persoalan tentang perkara ini (bayaran kepada Sulu), tiada bayaran langsung pun, waktu itu British sudah memerintah, mentadbir wilayah Sabah,” katanya.

Sebelum ini sebuah media dalam talian melaporkan, surat Tommy dijadikan sandaran dalam keputusan timbang tara baru-baru ini yang kini mengancam untuk merampas aset Malaysia bernilai berbilion ringgit di luar negara.

Penelitian terhadap 297 perkara dalam keputusan timbang tara itu menunjukkan sekurang-kurangnya lebih dari 10 kali surat Tommy dipetik ketika hakim timbang tara Gonzalo Stampa menjelaskan kewajaran anugerah diberikan kepada penuntut.

Proses timbang tara itu berakhir di mana Malaysia diperintahkan untuk membayar AS$14.9 billion (RM60 billion) kepada kumpulan tersebut, menjadikan ia sebagai pampasan kedua terbesar seumpamanya di dunia.

Dalam surat bertarikh 19 September 2019, Tommy menyatakan kekesalan apabila kerajaan Malaysia menghentikan pembayaran tahunan kepada waris kesultanan Sulu, sebuah kerajaan yang pernah memerintah beberapa wilayah di kepulauan Melayu termasuk apa yang hari ini merangkumi negeri Sabah.

Pembayaran tersebut dihentikan sejurus selepas pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah oleh ratusan penyokong setia Sulu pada 2013.- MalaysiaGazette