Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu Malaysia, Shahbudin Embun bercakap kepada media pada Demonstrasi Aman 'Tanah Melayu Berdaulat Bantahan Keras Perbuatan Mempersenda dan Menghina Allah SWT, Agama Suci Islam dan Bangsa Melayu' di Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Gabungan NGO Melayu Islam mengingatkan penggubal, pengamal serta pihak berkuasa undang-undang agar tidak gentar mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina agama Islam melalui perundangan syariah.

Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu (MPN), Shahbudin Embun berkata, sekiranya mereka gagal berbuat demikian, sudah tiba masanya kuasa itu dikembalikan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu.

“Kami beri amaran terakhir wahai penggubal undang-undang, wahai pengamal undang-undang, wahai Peguam Negara, wahai PDRM, ahli-ahli Parlimen dan ahli politik Melayu.

“Mereka mesti sedar bahawasanya ada kelemahan dalam sistem undang-undang itu sendiri.

“Sekiranya kerajaan tidak menjalankan tugas melaksanakan undang-undang syariah di muka bumi ini, kita serah semula kepada Agong dan Raja-Raja Melayu menjadi tonggak undang-undang Islam,” katanya di sini hari ini.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah (kiri) bersama Waris Pekembar Malaysia, Naseron Ismail (tiga kanan) dan Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu Malaysia, Shahbudin Embun (kanan) bergambar selepas Demonstrasi Aman ‘Tanah Melayu Berdaulat Bantahan Keras Perbuatan Mempersenda dan Menghina Allah SWT, Agama Suci Islam dan Bangsa Melayu’ di Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2022.

Terdahulu beliau turut serta dalam Demonstrasi Aman ‘Tanah Melayu Berdaulat’ anjuran Sekretariat Gabungan NGO Melayu Islam bagi membantah keras perbuatan mempersenda serta menghina Allah, Islam dan Melayu di luar Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Waris Pekembar Malaysia, Naseron Ismail; Pengerusi Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulop Abdullah dan Setiausaha Pekembar, El Jiffy Abdul Azis.

Sebelum ini, video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita ketika persembahan di kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mendakwa dirinya beragama Islam.

Selain itu, wanita itu mendakwa menghafal 15 juzuk al-Quran malah melakukan tindakan mengejutkan dengan tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.

Shahbudin juga melahirkan rasa kesal apabila wanita berusia 28 itu gagal didakwa di mahkamah syariah selepas didakwa di mahkamah sivil atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan umat Islam.

“Wilayah Persekutuan di bawah kuasa YDPA dan Raja-Raja Melayu, kita ada Akta Jenayah Syariah tetapi nampaknya akta ada, perundangan ada tapi semuanya tidak ada gigi, ini mesti diambil iktibar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette