KUALA LUMPUR — Barisan ahli parlimen mahu perbahasan mengenai tuntutan waris kesultanan Sulu ke atas kerajaan dilaksanakan, kata Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal.
Menurut beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah itu, perbahasan perlu diadakan kerana apa yang disuarakan di dalam mesyuarat tertutup malam ini tidak perlu dirahsiakan pada umum.
Ujarnya, ini adalah untuk kepentingan negara, bukan hanya berhubung kait dengan keputusan mahkamah.
“Kita memikirkan tentang beberapa perkara untuk kepentingan negara, bukan hanya berhubung kait dengan apa yang berlaku di peringkat mahkamah”
“Kita menyuarakan tentang perlunya perbahasan diadakan kerana apa yang disuarakan itu bukan ada yang kita nak rahsiakan pun” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat mengenai tuntutan waris kesultanan Sulu, di sini, hari ini.
Ujarnya, perbahasan perlu diadakan untuk pengetahuan pada peringkat umum dan pihaknya berpendapat ia bukan hanya melibatkan aspek kedaulatan negara sahaja, tetapi membabitkan soal keselamatan.
Menurut Shafie, beberapa perkara lain juga disuarakan namun beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.
Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyifatkan mesyuarat itu sebagai sesuatu perbincangan yang bagus dan berjalan lancar.
Ujarnya, Wisma Putra mengambil maklum mengenai perkara yang diketengahkan oleh barisan ahli parlimen dalam perbincangan itu.
Mesyuarat tertutup mengenai warisan kesultanan Sulu itu bermula pada pada jam 8.30 malam dan berakhir kira-kira tiga jam kemudian.
Taklimat itu dikendalikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Luar Negeri, Saifuddin; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Wan Junaidi meninggalkan Seri Pacific tanpa sebarang ulasan.- MalaysiaGazette