PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melaksanakan program mendidik masyarakat dan anggota pasukan berkenaan untuk menjauhi amalan rasuah.
Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Program Kerjasama Strategik Antirasuah Antara PDRM dan SPRM itu bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada orang ramai untuk menghindari perbuatan menawarkan rasuah kepada penjawat awam.
“Selain itu program berkenaan juga berobjektifkan mendidik warga PDRM untuk mengamalkan nilai murni dan integriti tinggi semasa dalam perkhidmatan.
“Dalam program itu juga turut berlangsung upacara melafazkan dan menandatangi Ikrar Bebas Rasuah yang disaksikan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lebih 300 orang warga PDRM yang terdiri daripada pegawai dan anggota hadir menjayakan program tersebut di Taman Jaya, di sini.
Hadir pada itu Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurahim Abdul Rahim.
Kata Noorsiah, melalui program berkenaan orang ramai yang hadir berpeluang mendengar ceramah dan melihat pameran-pameran yang disediakan PDRM dan SPRM.
“Jalinan kerjasama ini merupakan kesinambungan daripada memorandum persefahaman bersama SPRM yang ditandatangani oleh PDRM pada 2016 dalam usaha menangani rasuah dengan lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, warga kerja PDRM juga diterangkan mengenai peranan besar yang dipikul mereka untuk menangkis persepsi masyarakat menentukan nilai terhadap seseorang penguatkuasa PDRM dalam soal rasuah dalam membantu generasi masa depan yang berintegriti.
Lafaz ikrar oleh PDRM pada majlis tersebut juga membabitkan kesediaan mereka untuk melaporkan segera sebarang tindakan penawaran rasuah oleh orang awam kepada mereka semasa menjalankan tugas di lapangan. – MalaysiaGazette