SEBERANG PERAI – Sebanyak 1,000 kilogram (kg) jerami padi digunakan bagi menghasilkan arca berupa seekor kerbau yang ditunggangi seorang kanak-kanak pada Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang 4.0 di Kampung Terus, Penanti di sini.
Arca bertajuk Anak Sawah yang dihasilkan pasukan O Sculpture Studio dari Ayer Itam di sini, merupakan antara 17 pasukan yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Arca Jerami Padi 1.0 sempena festival itu.
Ketua pasukan, Low Chee Peng berkata, arca yang berada dalam senarai empat teratas itu berkonsepkan seorang anak petani menunggang seekor kerbau dengan bahagian bawah badannya kelihatan seperti berada di dalam lumpur.
Jelasnya, mereka mengambil masa 360 jam untuk menyiapkan arca setinggi 4.8 meter (m) dan sepanjang 10.7 m itu.
“Prosesnya bermula dengan membina rangka daripada buluh dan jaring besi sebelum jerami padi disulam pada rangka tersebut.
“Kami sepasukan lima orang bekerja 12 jam sehari selama empat minggu bagi menghasilkan arca ini dalam keadaan cuaca tidak menentu terutamanya panas terik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Chee Peng, biarpun berpengalaman selama 30 tahun menghasilkan arca, dia tetap berdepan beberapa cabaran kerana pertama kali menggunakan jerami padi sebagai bahan binaan utama.
“Selain mengambil masa lebih lama, jerami padi sangat lembut dan tidak mudah tahan lama jika berada di luar.
“Biasanya saya menghasilkan arca daripada marmar, tetapi bagi pengguna jerami padi ini perlu berhati-hati kerana ia mudah membuatkan tangan menjadi gatal,” katanya. – MalaysiaGazette