KUALA LUMPUR – Ketika Perikatan Nasional (PN) sibuk berbincang mahu menggunakan logo baharu gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Barisan Nasional (BN) pula masih kekal bersama bendara lamanya.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lambang BN adalah satu-satunya logo yang akan digunakan parti komponen itu.
“Bendera ini pernah menjadi panji terhebat memacu kegemilangan negara. Berbakti di serata pelosok Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Memayungi kemakmuran dan kesejahteraan segenap kehidupan rakyat.
“Lambang sebuah perikatan kerjasama, kestabilan serta perpaduan yang luhur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas satu kenyataan dibuat Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Kamarudin Mohd Kasim, hari ini.
Kamarudin berkata, masalah yang dihadapi PN adalah kekeliruan pengundi terhadap logo parti yang seakan-akan logo kembar BN sebagaimana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, bendera lambang dacing itu akan terus kekal berpaksikan kepada rakyat.
“Hari silih berganti simbol BN terus terpahat dalam politik jasa dan budi. Neraca ini akan kekal berpaksi pada asas paling kukuh untuk rakyat demi rakyat.
“Lalu menjadi harapan sebenar rakyat apabila tiba masanya nanti. Insya Allah,” katanya lagi.
Untuk rekod, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, PN akan memperkenalkan logo baharu untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Cadangan mengubah suai logo sedia ada yang dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, pada penghujung Jun lalu.
Awal bulan ini, Pas yang merupakan ahli gabungan PN membayangkan tidak menggunakan logo PN dan bulan purnama untuk calonnya pada PRU15.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata Pas akan menggunakan simbol baharu dan sesuai untuk semua calonnya bagi menghadapi PRU akan datang. – MalaysiaGazette