Yang Di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Pemasyhuran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kuantan hari ini diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

KUANTAN – Yang Di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Pemasyhuran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan berangkat tiba jam 11 pagi.

Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Canselor UnIPSAS.

Turut mengiringi keluarga diraja, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Majlis diserikan dengan bacaan hadis bersanad dan terjemahan selain daripada tayangan montaj memaparkan perjalanan penubuhan UniPSAS.

Setelah 26 tahun penubuhannya, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) kini dengan rasmi dikenali Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).

Seramai 500 orang tetamu jemputan hadir sempena hari pemasyhuran UnIPSAS sebagai sebuah universiti selepas perakuan naik taraf sebagai universiti diterima pada 1 Disember 2021. – MalaysiaGazette