KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diperdengarkan dengan keterangan saksi pendakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa menjadi antara salah seorang penerima dana daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd (UKSB).
Untuk makluman, UKSB dikaitkan dengan pertuduhan rasuah terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ini.
Dakwa saksi pendakwaan ke-17, David Tan Siong Sun, Dr. Mahathir dikatakan menerima dana sebanyak RM2.6 juta secara tidak langsung daripada anak saudaranya, Tan Sri Rahmat Abu Bakar tanpa menyebut tarikh pemberian wang itu.
Dakwa Siong Sun, wang itu sebenarnya diberikan sebagai dana politik.
Ketika pemeriksaan balas hari ini oleh peguam bela, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang merujuk lejar UKSB, kata saksi itu, dakwaan itu tertulis dalam lejar UKB atas nama ‘Catatan Kedahan’.
Ahmad Zaidi : Adakah kamu nampak Dr. Mahathir dan Muhyiddin dalam mahkamah?
Siong Sun: Tidak ada.
Ahmad Zaidi: Adakah anda membuat pembayaran kepada Tan Sri Rahmat?
Siong Sun: Saya percaya ia adalah untuk dana politik.
Ahmad Zaidi: Adakah RM2.6 juta telah diberikan kepada Tan Sri Rahmat untuk diberi kepada Tun Mahathir, adakah itu betul, untuk dana politik?
Siong Sun: Betul.
Hari ini juga, Siong Sun sekali lagi mengesahkan pemberian dana sebanyak RM1.3 juta kepada Tan Sri Muhyiddin seperti dilaporkan sebelum ini.
Sebelum ini, beberapa nama besar lain turut di sebut selain Muhyiddin, tiga anggota Kabinet seperti Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan seorang lagi bekas menteri iaitu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.
Ketika ini Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam tujuh pertuduhan didakwa menerima sejumlah wang tunai S$1,150,000; RM3 juta, 15,500 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga didakwa terima wang tersebut daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Untuk makluman, ketika itu juga Ahmad Zahid adalah Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN).
Prosiding bersambung. – MalaysiaGazette