Anifah Aman Tommy Thomas Shafie Apdal Sabah Sultan Sulu Philippines claims demands
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman terkejut dengan dakwaan beliau pernah menerima wang daripada Ultra Kencana Sdn Bhd (UKSB) sebelum ini.

Perkara tersebut yang baru-baru ini didedahkan ketika perbicaraan rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi oleh bekas pengurusan pentadbiran syarikat itu, David Tan Siong Sun.

Malah prosiding tersebut turut menamakan nama bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidddin Yassin serta tiga anggota Kabinet seperti Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan seorang lagi bekas menteri iaitu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Malaysia (PCS) itu dalam satu kenyataan berkata, beliau tidak pernah mengenali dan bertemu dengan Siong Sun seperti didakwa.

“Sebagai Menteri Luar, saya berjumpa dengan ramai orang. Seingat saya, tidak pernah jumpa David Tan atau menerima sebarang wang daripadanya mahu pun UKSB.

“Saya tidak mengetahui siapa mereka dan saya tidak pernah berurusan dengan mereka dalam apa perkara sekali pun.

“Demi membersihkan nama baik saya, saya bersedia dan akan membantu sebarang siasatan yang dilakukan pihak berkuasa di dalam perkara ini,” kata Anifah. 

Untuk makluman Siong Sun merupakan saksi ke-17 pendakwaan dalam perbicaraan berprofil tinggi yang sedang berlangsung ketika ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan UKSB ketika itu adalah syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN).

Muhyidddin telah tampil menafikan dalam reaksi balasnya menafikan kenyataan saksi pendakwaan kononya pernah menerima RM1.3 juta daripada Siong Sun.

Susulan pendedahan itu, SPRM dalam reaksi segera memaklumkan akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang didakwa menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah itu. – MalaysiaGazette