Subbarow menggesa kerajaan mengharamkan penjualan vape dan e-rokok dalam negara.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan vape dan e-rokok yang menyebabkan golongan kanak-kanak serta remaja ketagih menghisap alat terbabit.

Selain itu, Aktivis Pendidikan CAP, NV Subbarow mendakwa remaja perempuan dari peringkat sekolah rendah serta menengah turut ketagih menghisap alat nikotin tersebut.

Tegas beliau, lebih membimbangkan, golongan kanak-kanak dan belia terbabit cenderung membelanjakan lebih banyak duit untuk membeli vape dan e-rokok berbanding makanan atau buku.

“Tinjauan CAP mendapati vape dan e-rokok ini menjadi seperti lollipop kepada kanak-kanak terbabit memandangkan ia dijual dalam bentuk cecair berperisa buah-buahan.

“Jadi, larangan segera mesti dilakukan bagi penjualan dan pengedaran vape serta e-rokok kepada kanak-kanak di bawah umur seperti larangan ke atas rokok tembakau.

“Sekiranya kerajaan tidak bertindak dalam menangani penjualan alat ini ia akan mendorong peningkatan tabiat merokok dalam kalangan belia di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Subbarow menggesa larangan sepenuhnya terhadap penjualan, import dan pembuatan vape serta e-rokok turut diperkenalkan.

“Lebih 20 negara di Amerika Selatan, Timur Tengah dan Asia Tenggara telah mengharamkan penjualan produk e-rokok namun di Malaysia ia adalah produk yang mudah diperoleh,” katanya. – MalaysiaGazette