SHAH ALAM – Otai Reformis tidak menolak kemungkinan pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Rasau bertujuan menghalalkan tindakan Kerajaan Negeri Selangor berbelanja besar sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausahanya, Abdul Razak Ismail mendakwa pembinaan loji baharu itu hanya satu lagi projek pembaziran sedangkan loji rawatan air milik Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) yang diambil alih pada 2018 masih gagal dimanfaat sepenuhnya sehingga sekarang.
“Kena ingat kita beli loji rawatan air Splash pada 2018 dengan harga RM2.55 bilion, apa kesan kita beli loji itu, rakyat Selangor masih lagi setiap bulan tanggung putus air.
“Jadi kita rasa ini adalah sesuatu untuk berbelanja besar sebelum PRU15, kalau tidak tiada makna,” katanya kepada pemberita di luar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan memorandum kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim yang menggesa agar satu sidang khas diadakan bagi membincangkan tiga isu utama melibatkan kepentingan awam.
Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Media kepada Speaker Dewan Negeri Selangor, Cheah Jun Ning di luar pagar utama bangunan SSAAS.
Dalam pada itu, Abdul Razak mempersoalkan kualiti air yang dihasilkan sekiranya loji itu kelak kerana didakwa hanya menapis air kotor dari Sungai Klang dan sumber air lombong di Puchong.
“Perlu diingat Loji Rawatan Air Sungai Rasau ini sebenarnya tapis air Sungai Klang yang kotor itu dan pam air dari lombong-lombong di Puchong.
“Jadi kita tak pasti kualiti air macam mana, sudah tiba masanya kita pertikaikan kerana RM2 bilion ini adalah bayaran fasa pertama, jumlah keseluruhan sebenar adalah RM6.47 bilion, itu duit rakyat.
“Kenapa kita habiskan benda yang kita tak pasti, kenapa kita perlu satu lagi sistem yang mana sedangkan sistem sedia ada tidak digunakan sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette