Lori tangki yang disyaki digunakan memindahkan disel bersubsidi ke setor haram oleh sindiket berjaya diserbu dan ditumpaskan dalam ops bersepadu KPDNHEP dan PDRM.Ihsan KPDNHEP

KUALA LUMPUR – Sebuah stor haram yang didapati menyimpan diesel bersubsidi di Taman Batu Permai di sini oleh sindiket penyeludup yang didalangi warga tempatan akhirnya terbongkar baru-baru ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, hasil risikan selama dua minggu, beberapa buah lori  yang diubahsuai didapati membuat pembelian di stesen-stesen minyak sekitar Kuala Lumpur sebelum membuat penghantaran ke stor haram itu.

Pada 22 Julai lalu, sepasukan pegawai KPDNHEP WPKL dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah membuat serbuan ke atas sebuah stor haram bersebelahan Taman Batu Permai, Off Jalan Ipoh di sini berdasarkan maklumat awal risikan.

Tangki di stor haram simpanan diesel bersubsidi berjaya diserbu dan dirampas dengan tertangkapnya 13 pekerja dan seorang pemilik kesemuanya warga tempatan dalam ops KPDNHEP dan PDRM. Gambar ihsan KPDNHEP”Setiap transaksi pembelian dilakukan secara tunai dan aktiviti menyalahi undang-undang ini dipercayai dijalankan oleh pihak sindiket yang mengutip minyak diesel bersubsidi seawal jam 8.00 pagi sehingga jam 8.00 malam sahaja (waktu sibuk), bertujuan untuk mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Nurul Syarina, kesemua pemandu lori terbabit didapati berhati-hati serta akan melalui jalan yang agak sunyi bagi mengelak dihidu oleh Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang (LEA’s) dalam penghantaran bekalan diesel bersubsidi itu ke stor haram berkenaan.

Ujarnya, bekalan yang dihantar ke stor berkenaan akan dipindahkan ke lori tangki dan dijual kepada pemborong berlesen yang beroperasi di Lembah Kelang.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di stor haram berkenaan, pasukan serbuan telah menyita minyak diesel sebanyak 15,700 liter iaitu dianggarkan berjumlah RM33,755 manakala sitaan lain adalah melibatkan dua buah lori tangki, dua buah lori bonded, empat unit pam, tiga unit hos minyak dan resit-resit pembelian.

Sebuah lori yang diubahsuai untuk membawa diesel bersubsidi akhirnya dirampas selepas setor haram simpan minyak bersubsidi itu digempur KPDNHEP dan PDRM baru-baru ini. Ihsan KPDNHEP

“Jumlah keseluruhan sitaan bagi operasi ini dianggarkan bernilai RM224,000 kerana disyaki menjalankan urusniaga barang kawalan tanpa memiliki lesen yang sah dan juga disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

“Semua pihak yang terlibat dalam rantaian penyelewengan ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 selain siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),” ujarnya.

Dalam operasi sama, tegasnya, KPDNHEP turut menahan 13 orang pekerja dan seorang lelaki yang disyaki pemilik kepada stor haram berkenaan kerana dipercayai terlibat dalam urusniaga barang kawalan tanpa lesen yang sah dan kesemuanya adalah warga tempatan.

Justeru katanya, tangkapan ini dilakukan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan tehadap suspek dengan lebih mendalam terhadap rantaian penyelewengan.

Jelasnya lagi, KPDNHEP WP Kuala Lumpur akan meneruskan kerjasama dengan pihak PDRM dan agensi-agensi penguatkuasaan lain sebagai langkah memperkemaskan tindakan penguatkuasaan membendung ketirisan subsidi.

“KPDNHEP WP Kuala Lumpur juga memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada serta tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi yang diberikan oleh pihak kerajaan.

“Subsidi yang diberikan adalah untuk dinikmati oleh rakyat negara ini dan bukannya untuk aktiviti penyelewengan bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Perbezaan harga minyak diesel bersubsidi di stesen minyak dengan minyak diesel industri melebihi RM2.00/liter dan ini menjadi faktor utama pihak sindiket mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan peribadi.

“KPDNHEP WP Kuala Lumpur ingin menegaskan bahawa mana-mana individu atau mana-mana pihak ingkar bakal menerima hukuman yang berat sepertimana yang ditetapkan oleh undang- undang,” ujarnya. – MalaysiaGazette