Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 JULAI 2022

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan pernyataan saksi utama dalam kes membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan dilakukan pada 2020.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti dan mendengar hujah pasukan pembelaan yang diakui oleh pihak pendakwaan di bawah Seksyen 30 Akta SPRM.

Selepas mendengar dan meneliti,  pihak pembelaan telah membuktikan percanggahan dalam kenyataan lisan dan bertulis saksi. Pihak pendakwaan juga telah bersetuju bahawa percanggahan ini wujud.

“Oleh itu saya minta pihak pendakwaan memberikan salinan keterangan saksi kepada mahkamah untuk diteliti bagi tindakan selanjutnya,” katanya, hari ini.

Sebaik keputusan itu dibuat, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon kepastian sama ada perbezaan keterangan lisan dan percakapan itu perlu disahkan dan disorotkan terlebih dahulu, Azhar berkata, salinan itu perlu diserahkan kepada mahkamah.

Beliau menjelaskan, sebarang perbezaan atau percanggahan keterangan akan diteliti sebelum keputusan dibuat kemudian.

Jumaat lalu, pihak pembelaan mengemukakan permohonan kedua di Mahkamah Tinggi untuk mencabar kredibiliti Rafiq Hakim Razali dengan mendapatkan pernyataan saksi itu yang direkodkan pada 2020.

Peguam Gobind Singh Deo berhujah, pernyataan Rafiq akan dijadikan asas mendapat kebenaran memulakan prosiding mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Syed Saddiq kerana ia tidak tertakluk di bawah definisi Seksyen 402(B) Kanun Tatacara Jenayah.

Permohonan bagi mencabar kredibiliti Rafiq yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikemukakan ekoran keterangan lisannya di mahkamah bercanggah dengan pernyataan yang direkodkan SPRM semasa siasatan.

Pada prosiding tersebut, beliau berhujah, percanggahan yang menjadi asas kepada permohonan itu antara lain melibatkan perincian masa dan tempat arahan yang didakwa diberikan oleh Syed Saddiq serta tujuan program mengutip dana di Muar, Johor dan wang yang diperolehi hasil kutipan itu.

Sebelum ini, pihak pembelaan memohon mendapatkan pernyataan saksi pendakwaan ke-13 itu meskipun pernyataan secara bertulis itu tidak dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan.

Isnin lalu, Azhar ketika menolak permohonan pihak pembelaan berpendapat, pernyataan Rafiq tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mencabar kredibiliti beliau kerana ia tidak tertakluk di bawah definisi Seksyen 402(B) Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam keterangannya awal bulan ini, Rafiq memberitahu mahkamah bahawa Syed Saddiq telah mengarahkannya untuk mengeluarkan RM1 juta ketika satu mesyuarat di rumah tertuduh di Petaling Jaya pada Mac 2020 selepas `Langkah Sheraton.’

Namun, ketika pemeriksaan balas, Rafiq berkata, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Bersatu hanya menyebut jumlah RM1 juta itu dalam satu panggilan telefon.

Gobind turut berhujah, Rafiq dalam keterangan lisannya tidak bersetuju bahawa wang dalam akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) adalah hasil dana kutipan orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar.

Bagaimanapun, dalam pernyataannya kepada SPRM, Rafiq mengesahkan bahawa sumber kewangan ABBE adalah hasil sumbangan orang ramai sepenuhnya iaitu melalui Majlis Makan Malam di Muar dan Majlis Makan di De Palma Hotel.

Pernyataan itu juga menyebut, majlis makan malam diadakan bertujuan mendapatkan dana bagi Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar.

Sementara itu, pada Jumaat lalu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mempersoal sama ada pernyataan yang direkodkan oleh pegawai SPRM di bawah Seksyen 30 Akta SPRM boleh diserahkan kepada pihak pembelaan bagi mencabar kredibiliti Rafiq.

Beliau berhujah, sebelum pembelaan boleh memulakan prosiding mencabar kredibiliti Rafiq menggunakan pernyataannya, beban terletak di bahu mereka untuk menunjukkan asas bahawa pernyataan itu boleh diberikan.

“Permohonan pada peringkat ini adalah penyalahgunaan mahkamah kerana pembelaan sebenarnya cuba memiliki pernyataan itu bukan bagi prosiding mencabar kredibiliti saksi, sebaliknya untuk melihat keseluruhan kandungan pernyataan tersebut yang mana tidak sepatutnya dibenarkan oleh mahkamah,” ujarnya.

Hujah Wan Shaharuddin, permohonan untuk mendapatkan pernyataan itu harus ditolak kerana ia bertentangan dengan polisi awam melibatkan ‘privilege document‘.

Mahkamah ketika ini mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 29, atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq yang juga bekas menteri Kabinet didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – MalaysiaGazette