ADUN Pandan Indah, Izham Hashim ketika di Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ke-14 Tahun 2022 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Tahap kebergantungan kerajaan Selangor kepada bekalan makanan dalam negeri khususnya sumber makanan protein masih rendah iaitu kurang lima peratus, kata Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim.

Beliau berkata, tahap itu khusus bagi sumber makanan protein seperti daging lembu dan kambing, manakala pengeluaran padi hanya 33 peratus, halia (3.8 peratus), sawi (56.4 peratus), cili (9.1 peratus) dan timun (26.7 peratus).

Katanya, hasil segar yang mencapai lebih 100 peratus bekalan makanan dalam negeri ialah tebu 211.8 peratus, belimbing (107.7 peratus) manakala ternakan ayam (64.73 peratus) dan telur ayam (44.91 peratus).

“Melalui indikator kadar peratusan bekalan makanan dalam negeri itu keseluruhannya tidak lebih dari setahun tahap bekalan jika tiada bekalan makanan yang dibawa dari luar Selangor atau diimport.

“Langkah yang telah dan sedang diambil bagi meningkatkan bekalan makanan adalah dengan melaksanakan lima Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA),” katanya pada sidang DUN negeri itu di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, lima Dasar PeTA merangkumi Pertanian Bernilai Tinggi, Pemodenan Pertanian, Rantaian Bekalan Makanan Lengkap, Pembangunan Agropreneur dan Agro Pelancongan.

Katanya, antara objektif PeTA ialah produktiviti iaitu meningkatkan jumlah hasil pengeluaran bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan.

Objektif lain ialah Ekonomi – meningkatkan sumbangan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian (makanan) Selangor.

Modal Insan – mewujudkan peluang sumber pendapatan khususnya kepada golongan muda serta menyediakan latihan dan bimbingan secara hands-on kepada mereka yang berminat.

Bagi pelaksanaan PeTA itu, katanya, ia dipecahkan kepada sembilan kluster iaitu Agro Prihatin, Agro Komuniti, Agro Centre of Excellence (ACE), Agropreneur Selangor, Agro Pelancongan, Maju Agro Selangor, Agro Niaga, E-AGro dan Smart Selangor Agro Park (SSAP) serta Smart Selangor Agro Farm (SSAF).

“Menerusi sembilan kluster ini kita dapat mengurus lambakan hasil pertanian, memberi insentif kepada petani, penternak, nelayan serta mewujudkan agro siswa dan agro sekolah.

“Ia juga dapat meningkatkan kajian dan pelaksanaan untuk mengeluarkan benih tanaman, baka ternakan dan akuakultur,” katanya. – MalaysiaGazette