Najib PN
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Menteri diminta supaya tidak menyebut dengan kerap untuk memansuhkan subsidi pukal kerana ia boleh membawa kepada inflasi yang lebih teruk.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pemansuhan subsidi boleh ‘menakutkan’ pasaran dan pengguna.

“Kerajaan tidak boleh asyik sebut nak mansuhkan subsidi pukal sebab hanya sebut sahaja akan membawa kepada inflasi lebih teruk.

“Jangan syok sendiri asyik sebut dan menakutkan pasaran serta pengguna.

“Beritahu pasaran bahawa kerajaan tidak akan berbuat demikan dalam tahun ini dan hanya akan dilaksanakan apabila kadar inflasi turun semula dan terkawal,” nasihat Najib.

Beliau mengulas laporana berita kerajaan berkemungkinan besar akan memperkenalkan mekanisme subsidi minyak bersasar bagi menampung impak kenaikan harga minyak mentah terutamanya bagi kumpulan berpendapatan rendah.

Menurut Najib, kerajaan tidak patut memperkenalkan perubahan besar kepada dasar-dasar ekonomi yang akan mengejutkan pasaran pada ketika jangkaan inflasi masih tinggi.

Ini kerana jangkaan  kadar inflasi akan lebih tinggi akan benar-benar membawa kepada kadar inflasi yang lebih tinggi.

“Ianya adalah satu self-fulfilling prophecy. Ini ialah kerana apabila peniaga tetapkan harga barang bagi bulan-bulan mendatang pada hari ini, mereka akan naikkan harga sekiranya peniaga jangka atau ramal inflasi akan tinggi.

“Sehubungan ini, saya ingin memberi amaran bahawa hasrat kerajaan mansuhkan subsidi bahan api pukal untuk memperkenalkan subsidi petrol bersasar tidak seharusnya dilakukan pada ketika ini di mana jangkaan inflasi tinggi masih wujud,” katanya.

Menurut Najib, beliau sedar pada waktu ini beban subsidi kerajaan sudah menjadi sangat besar pada kadar RM80 bilion.

Namun ia boleh dibantu oleh Petronas yang kini sedang menikmati manfaat berikutan harga minyak yang melonjak di pasaran dunia dan besar kemungkinan akan mencatatkan keuntungan lebih RM100 bilion

“Ini bermakna Petronas dengan selesanya mampu memberi dividen sebanyak RM80 bilion daripada jangkaan keuntungan besar sebanyak RM100 bilion kepada kerajaan.

“Ditambah dengan cukai petroleum dan excise petroleum, jumlah hasil Petronas kepada kerajaan hampir pasti mencecah RM100 bilion bagi tahun ini – iaitu melebihi keperluan bagi menampung beban subsidi sebanyak RM80 bilion,” katanya.

Menurut Najib, pembayaran dividen itu tidak sama dengan dividen sebanyak RM54 bilion dibayar kepada kerajaan PH pada tahun 2019 semasa Petronas cuma mencatat untung bersih RM39.1 bilion.

Ia juga tidak sama dengan dividen sebanyak RM34 bilion dibayar kepada kerajaan PN pada tahun 2020 biarpun Petronas rugi RM22.9 bilion.

“Ia bukan masalah selagi dividen dibayar adalah lebih rendah berbanding keuntungan Petronas – bukan sebaliknya seperti bawah kerajaan PH dan PN,” jelas Najib.- MalaysiaGazette