Pengendalian kargo di Tanjung Pelepas. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ekonomi Negeri Johor telah berada semula pada landasan pemulihan dengan merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM131.1 bilion pada tahun lalu berbanding RM128.0 bilion pada tahun sebelumnya.

Prestasi itu merupakan pertumbuhan pada kadar 2.4 peratus iaitu lebih baik dari pencapaian pada tahun 2020 yang telah merekodkan pertumbuhan -4.7 peratus.

Manakala, struktur ekonomi Johor terus didominasi oleh dua sektor utama iaitu perkhidmatan dan pembuatan dengan sumbangan 83.0 peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Prospek ekonomi Johor dijangkakan terus berkembang kesan daripada pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura dan ia akan merancakkan lagi usaha pemulihan negara.

Melangkah ke hadapan, aktiviti perniagaan dapat diteruskan dan dalam masa yang sama membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di Negeri Johor dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sektor perkhidmatan bertumbuh 2.6 peratus didorong oleh peningkatan dalam subsektor utiliti, pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi dan subsektor kewangan & insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan.

Sektor pembuatan turut mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.5 peratus dipengaruhi oleh peningkatan pada produk elektrik, elektronik dan optikal serta peningkatan produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Eksport Johor telah meningkat sebanyak 20.6% dengan nilai eksport RM255.1 juta, yang mana eksport barangan utama Johor adalah keluaran petroleum bertapis (21.9%), litar elektronik bersepadu (13.6%) dan barangan
elektrik dan elektronik yang lain (7.2%).

Berdasarkan Banci Malaysia 2020, penduduk Malaysia adalah 32.4 juta orang dengan Johor mencatatkan bilangan penduduk seramai 4.01 juta orang.

Pertumbuhan penduduk negeri ini meningkat pada kadar 2.2 peratus bagi tempoh 2010 hingga
2020.

Johor turut mencatatkan bilangan lelaki melebihi perempuan dengan nisbah jantina 115 lelaki bagi setiap 100 orang perempuan.

Jumlah komposisi generasi muda atau belia (penduduk berumur 15 – 40 tahun) di Negeri Johor adalah hampir satu per dua dari jumlah penduduk Johor iaitu sebanyak 45.1 peratus.

Golongan muda ini majoritinya berada di daerah Johor Bahru iaitu 41.0 peratus diikuti daerah Batu Pahat sebanyak 12.7 peratus.

Daerah Johor Bahru merupakan tempat tumpuan utama yang menawarkan peluang pekerjaan bagi golongan ini terutama dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Sektor perkhidmatan menyediakan pekerjaan sebanyak 60.0 peratus kepada penduduk bekerja di Johor manakala pembuatan menyumbang kepada 24.1 peratus pada tahun 2021.

Majoriti belia yang bekerja adalah daripada pendidikan menengah dengan mencatatkan 5,357.6 juta (53.5%) pekerja di Malaysia manakala 714.0 juta (60.6%) bagi Johor.

Manakala pekerja dengan pendidikan tertiari merupakan tahap pendidikan kedua tertinggi di Malaysia iaitu 3,557.2 juta (35.5%) sementara Johor mencatatkan 373.7 juta (31.7%). – MalaysiaGazette