garbage disposal solid waste landfill Selangor
Ng Sze Han

SHAH ALAM – Kerajaan negeri meminta orang ramai membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing untuk sama-sama membanteras aktiviti pembuangan sampah secara haram.

Mereka boleh merakamkan gambar atau video mengenai aktiviti itu bagi memudahkan pengkuatkuasaan daripada PBT dilakukan ke atas pihak terbabit.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, kebanyakan aktiviti itu melibatkan pembuangan sampah pukal, industri, kedai, komersial dan penduduk.

“Jika nampak sahaja aktiviti pembuangan sampah haram itu tolonglah ambil gambar, video supaya tindakan penguatkuasaan itu lebih senang dan efektif dijalankan.

“Bagi pihak industri, kedai atau komersial lantiklah kontraktor yang bertanggungjawab. Selalunya mereka hanya lantik kontraktor tetapi tidak sampah itu dihantar ke mana, adakah ke tapak pelupusan sampah atau tepi jalan.

“Ini masalah yang selalu berlaku. Mereka tidak ambil peduli. Sepatutnya sebagai tuan kedai atau tuan kilang mereka harus ambil peduli di mana sampah mereka akan dihantar,” katanya pada sidang DUN  hari ini.

Sze Han berkata, selain dikenakan kompaun dan diheret ke mahkamah, PBT juga ada kuasa untuk menyita lori sampah yang melanggar kesalahan itu.

Kata beliau, mengikut Undang-undang Kecil Majlis Perbandaran, pegawai PBT diberi kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan iaitu mengkompaun atau menyita mana-mana pesalah yang melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang itu.

Katanya, bagi pesalah yang gagal menyelesaikan kompaun tempoh ditetapkan boleh didakwa di mahkamah.

Bagi kes yang disabitkan di mahkamah, penalti yang ditetapkan adalah denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda seharian sehingga RM200 bagi setiap hari kesalahan itu terus dilakukan.

Beliau memberi contoh, berdasarkan rekod kes pembuangan sampah haram dalam kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dari Januari 2021 sehingga kini sebanyak 1,153 notis tawaran mengkompaun (NTK) telah dikeluarkan.

NTK itu dikeluarkan ke atas pesalah yang melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPSJ.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 1,139 NTK dikeluarkan di bawah peruntukan Undang-undang Kecil 4 dan 14 NTK di bawah Undang-undang Kecil 12.

“Dalam hal ini, enam kes telah dimajukan ke peringkat pendakwaan, di mana tiga kes telah berjaya disabitkan di mahkamah, manakala selebihnya dalam peringkat sebutan kes.

“Seterusnya tindakan penguatkuasaan seperti mengkompaun atau mendakwa kesalahan dilaksanakan berdasarkan prinsip undang-undang iaitu dengan adil dan berlandaskan kepada pembuktian yang kukuh.

“Dalam perkara ini juga bukti-bukti yang boleh diterima pakai oleh mahkamah termasuk rakaman gambar, video atau rakaman percakapan saksi-saksi kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette