BANGI – Perolehan tanah untuk tujuan pembangunan ekonomi yang tidak diuruskan secara berhati-hati dan melanggar Perlembagaan Persekutuan berisiko untuk dicabar ke mahkamah.
Sehubungan itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata urusan pengambilan tanah perlu dilaksanakan secara berwaspada, khususnya mempertahankan hak individu ke atas hartanah.
“Prinsip asas undang-undang tentang hak individu ke atas hartanah perlu dipertahankan dan dipelihara.
“Oleh kerana itu, pihak terlibat perlulah prihatin dan berwaspada semasa menguruskan pengambilan tanah bagi pembangunan ekonomi supaya setiap tindakan tidak melampaui Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak terhadap akta iaitu tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tapa pampasan yang memadai,” katanya.
Beliau berkata menerusi ucapan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Rosli Isa pada majlis Perasmian Penutup Seminar Pengambilan Tanah 2022 Pembangunan Negara: Keperluan dan Cabaran Pengambilan Tanah, hari ini.
Seminar berkenaan merupakan anjuran Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN).
Takiyuddin berkata, kaedah pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, digunakan oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek-projek melibatkan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.
Menurut beliau, proses pengambilan tanah tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana tertakluk kepada prosedur yang telah ditetapkan.
“Pada peringkat awal, ketentuan mengenai tanah, keluasan yang terlibat, jumlah pampasan dan mereka yang menerima pampasan mesti dipastikan.
“Prosedur-prosedur yang seterusnya selepas itu ialah tindakan-tindakan susulan seperti pindaan cukai, pengeluaran hak milk sambungan seta pemilikan secara rasmi dibuat,” katanya lagi.
Justeru, seminar seumpama ini penting untuk diadakan bagi meningkatkan kefahaman berkaitan pengambilan tanah secara terperinci.
Seramai 100 peserta awam dan swasta menyertai seminar yang diadakan selama dua hari sejak semalam.- MalaysiaGazette