AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) telah dikuatkuasakan pada tahun 2012.
Akta ini digubal untuk mengadakan peruntukan bagi Langkah-Langkah khas yang berkaitan dengan kesalahan keselamatan dan bertujuan untuk mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Disebabkan kerumitan untuk menyiasat kes-kes kesalahan keselamatan seperti kes kesalahan keganasan yang bersifat rentas sempadan, kes sindiket penyeludupan migran, kes jenayah terancang dan sebagainya maka subseksyen 4(5) SOSMA memperuntukkan bahawa seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.
Subseksyen 4(5) SOSMA ini akan membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan dengan terperinci ke atas kesalahan-kesalahan keselamatan demi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman keselamatan semasa.
Ia amat penting kerana jika tempoh tahanan 28 hari diserahkan kepada bidang kuasa mahkamah ianya akan mendedahkan identiti suspek-suspek yang telah ditangkap. Ini mengakibatkan rakan-rakan sejenayah suspek akan melarikan diri dan memusnahkan segala bukti-bukti yang diperlukan oleh pihak polis.
Bagaimanapun, untuk tujuan semak dan imbang maka Subseksyen 4(11) SOSMA menyebut subseksyen 4(5) hendaklah disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan jika suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.
Sebab itulah setiap lima tahun sekali usul perlanjutan subseksyen 4(5) SOSMA ini terpaksa dibentangkan dalam Parlimen, terbarunya ialah pada 23 Mac lalu untuk melanjutkannya bagi tempoh lima tahun akan datang tetapi disebabkan ketidakpekaan sesetengah Ahli Parlimen penyokong kerajaan maka usul ini ditolak setelah ia hanya memperolehi 85 undi menyokong berbanding 86 undi menolak manakala 50 Ahli Parlimen lagi tidak hadir.
Walaupun penolakan usul ini tidak menjejaskan keutuhan kerajaan tetapi ia merupakan satu perkara yang memalukan pihak kerajaan kerana ia mencerminkan ketiadaan komitmen untuk memelihara keselamatan negara kerana perlanjutan subseksyen 4(5) SOSMA ini adalah sesuatu yang kritikal di dalam penyiasatan dan pendakwaan kesalahan keselamatan.
Sehingga kini sejak 2016 seramai 3,717 individu ditahan mengikut SOSMA, dengan 400 daripadanya ditahan kerana terbabit elemen kumpulan pengganas, 321 terbabit aktiviti sindiket penyeludupan manusia, 1,838 kerana kesalahan pemerdagangan manusia dan 1,030 di bawah kesalahan jenayah terancang.
Sebelum ini Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah digunakan untuk menahan mereka yang terbabit dalam elemen-elemen subversif dan jenayah terancang seperti sindiket pengedaran dadah dan lain-lain jenayah berat sebelum ia dimansuhkan pada 2012 selari dengan pendemokrasian negara.
Pemansuhan ISA ternyata telah memberikan satu ruang bagi pihak-pihak tertentu untuk menjalankan elemen-elemen jenayah sehingga berlakunya ketidakmampuan PDRM dalam melindungi rakyat daripada ancaman keselamatan jenayah terancang sehingga wujud pelbagai gesaan untuk ia dihidupkan kembali seperti di negara maju lain. Tambahan pula, sokongan kepada kerajaan tidak bertambah pun selepas pemansuhan ISA.
Walaupun begitu, bila ISA tiada, SOSMA dikira masih memadai untuk menghalang keganasan yang menimbulkan ketidakharmonian dan ketenteraman awam di negara ini. Apabila timbulnya tindakan tersebut, maka pihak PDRM memerlukan masa yang mencukupi dalam mengumpulkan bukti bagi membawa pesalah jenayah tersebut ke mahkamah.
Jenayah terancang kini turut melibatkan elemen scammers dan hackers serta kes penculikan kanak-kanak sehingga kini melibatkan ratusan kanak-kanak hilang tidak dapat diselesaikan.
Tetapi kerana kekurangan bukti yang disebabkan terhadnya masa dalam mengumpulkan bukti yang kukuh menyebabkan ramai penjenayah terancang dapat melepaskan diri daripada sebarang hukuman.
Akhirnya, rakyat akan menerima kesan jika para penjenayah terancang ini yang dapat membebaskan diri akan berkemungkinan melakukan semula jenayah mereka. Bukan mudah untuk menahan seseorang untuk penjenayah yang telah melarikan diri dengan segala komplikasi yang ada.
SOSMA amat penting kerana meletakkan semua kesalahan keselamatan dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Tambahan pula semasa perbicaraan, Mahkamah tidak boleh memerintahkan Pendakwa Raya mengemukakan apa-apa maklumat yang dianggap sensitif dan memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara. Ini bertujuan melindungi hak privasi sesuatu isu maklumat sensitif kedaulatan negara dan rakyat.
Adalah tidak benar mengatakan SOSMA ini digunakan sebagai alat politik. Dalam perihal SOSMA menyatakan tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya.
Oleh kerana kegagalan usul ini diluluskan pada 23 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, kini terpaksa membentangkan semula usul ini hari ini.
Bagaimanapun, mengikut Peraturan Mesyuarat 36(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, pembentangan semula Usul yang telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat sebelum ini dibenarkan dengan membawa Usul membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat sebelum ini terlebih dahulu.
Ini telah dilakukan oleh Datuk Seri Hamzah pada 20 Julai lalu dan Usul membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat pada 23 Mac lalu diluluskan setelah memperolehi 105 undi setuju berbanding 83 undi tidak setuju manakala 32 Ahli Parlimen lagi tidak hadir.
Disebabkan kepentingan usul ini, maka sepatutnya Ahli-Ahli Parlimen penyokong kerajaan khususnya mereka yang berjawatan menteri dan timbalan menteri yang tidak menyokongnya dengan tidak hadir tanpa sebab munasabah dalam sesi pengundian hari ini dikenakan tindakan kerana mengingkari keputusan yang telah dipersetujui oleh Kabinet.- MalaysiaGazette
Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan.