Operasi perkhidmatan teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tergendala hampir satu jam akibat gangguan bekalan elektrik di beberapa negeri hari ini.

BAYAN LEPAS – “Kami sedang berurusan dengan pelanggan sebelum tiba-tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bergelap dan lima minit kemudian disusuli kejadian sama,” kata Penyelia Kaunter Teksi LTAPP.

Menurut Azuan Ishak, 32, kejadian gangguan bekalan elektrik kali kedua itu bagaimanapun kembali pulih lima minit kemudian tetapi kaunter perkhidmatan mereka tergendala hampir satu jam.

Jelasnya, dia serta beberapa pekerjanya sangkakan kejadian itu hanya membabitkan LTAPP, sebelum mereka diberitahu beberapa negeri turut mengalami gangguan bekalan elektrik.

Azuan Ishak

“Kejadian gangguan bekalan elektrik berlaku dua kali, pertama pada jam 1 tengah hari dan disusuli lima minit kemudian sebelum LTAPP kembali terang seperti sedia kala.

“Bagaimanapun, gangguan bekalan eletrik secara besar-besaran itu menyebabkan kami terpaksa mengeluarkan resit secara manual kepada pelanggan susulan sistem komputer kami masih tidak boleh berfungsi.

Resit dikeluarkan secara manual kepada pelanggan akibat gangguan bekalan elektrik.

“Kalau ikutkan hampir sejam kaunter kami tak ada elektrik dan nasib baik masih ada dalam simpanan resit untuk dikeluarkan secara manual kepada pelanggan jika tidak mesti perkhidmatan teksi di sini akan terkesan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga, Siti Hajar Saidin, 46, berkata, premis mereka yang terletak di tingkat bawah LTAPP itu turut terkesan akibat gangguan bekalan elektrik itu.

Siti Hajar.

“Nasib baik elektrik kembali dalam masa singkat jika tidak, mesti makanan yang ditempatkan dalam peti sejuk akan rosak dan kami terpaksa menanggung kerugian itu,” jelasnya.

Sementara itu, Majlis Graduasi Akademi Baitul Hikmah Universiti Sains Malaysia di Dewan Budaya universiti berkenaan turut berdepan situasi sama.

Penolong Pengarah Kanan Pusat Islam USM, Nukman Ahmad Zakir berkata, mereka berdepan situasi dewan bergelap sebaik majlis selesai.

“Syukur kejadian itu berlaku sejurus selesai majlis pada jam 12.45 tengah hari dan bekalan kembali pulih tidak lama kemudian,” katanya.

Terdahulu, TNB dalam satu kenyataan berkata, beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sedang mengalami gangguan elektrik sejak jam 12:39 tengah hari tadi.

Antara kawasan terbabit adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas,

Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.

Walaubagaimanapun, bekalan sudah dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 40 minit di semua kawasan terbabit kecuali di sekitar Lembah Klang. – MalaysiaGazette