PUTRAJAYA – Kenaikan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur harga barangan di pintu kilang menyederhana untuk mencatatkan 10.9 peratus pada Jun 2022 berbanding 11.2 peratus direkodkan pada Mei 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Semua sektor merekodkan peningkatan dua digit kecuali bagi sektor utiliti.

Sektor pembuatan yang merupakan wajaran terbesar dalam IHPR (81.6%), mencatatkan peningkatan 10.0 peratus pada Jun 2022.

Walaupun subsektor daripada sektor ini merekodkan peningkatan dua digit, aliran peningkatan telah mulai perlahan.

Pembuatan kok & produk petroleum bertapis merekodkan 22.3 peratus pada Jun 2022, lebih rendah berbanding 22.9 peratus pada Mei 2022.

Pada masa yang sama, pembuatan produk makanan mencatatkan peningkatan perlahan kepada 18.6 peratus pada Jun 2022
daripada 19.3 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya manakala pembuatan kimia & produk kimia turut menyederhana daripada 11.4 peratus pada Mei 2022 kepada 10.5 peratus pada Jun 2022.

Sementara itu, 16 subsektor yang lain mencatatkan peningkatan perlahan dalam julat antara 0.4 peratus dan 9.5 peratus.

Manakala, dua subsektor merekodkan penurunan dan satu subsektor kekal tidak berubah, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

”Walaupun harga komoditi minyak kelapa sawit mengalami sedikit penurunan kepada RM6,106.00/tan pada Jun 2022 berbanding bulan sebelumnya (RM6,873.00/tan), indeks bagi sektor pertanian, perhutanan & perikanan kekal merekodkan kenaikan dua digit yang perlahan dengan kadar 18.1 peratus berbanding 29.8 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.

”Selain daripada dipacu oleh indeks tanaman kekal, indeks perikanan dan pembalakan turut menyumbang kepada
peningkatan dalam sektor ini pada Jun 2022. Indeks penanaman tanaman tidak kekal dan pengeluaran ternakan meningkat masing-masing dengan 7.5 peratus dan 6.9 peratus,” katanya.

Peningkatan pada kedua-dua indeks ini adalah antaranya dipengaruhi oleh kenaikan dalam indeks tomato (34.9%), kobis bulat (22.8%), terung (19.2%), telur ayam (9.7%) dan ayam (8.0%).

Sektor perlombongan merekodkan kenaikan 17.5 peratus pada Jun 2022 berbanding 20.6 peratus yang dicatatkan pada Mei 2022 dipacu terutamanya oleh kenaikan dalam indeks gas asli (43.4%) dan minyak mentah (12.7%).

Bagi indeks utiliti, kenaikan 2.1 peratus dicatatkan oleh indeks bekalan air, manakala, indeks bekalan elektrik
& gas menurun 0.2 peratus.

Melihat kepada perbandingan bulan ke bulan, Mohd Uzir menjelaskan, berbanding Mei 2022, IHPR pengeluaran tempatan pada Jun 2022 menurun buat kali pertama pada tahun ini, untuk merekodkan negatif 0.1 peratus berbanding
kenaikan 1.2 peratus yang dicatatkan pada Mei 2022. ‘

Penurunan ini disumbangkan oleh indeks pertanian, perhutanan & perikanan yang mencatatkan penurunan 9.5 peratus
(Mei 2022: 0.9%), dipengaruhi oleh kejatuhan dalam indeks buah tandan segar kelapa sawit (-14.3%).

Sementara itu, indeks perlombongan meningkat 5.4 peratus (Mei 2022: 4.0%) disumbangkan oleh kenaikan pada indeks minyak mentah (5.9%) dan gas asli (3.2%).

Pada masa yang sama, indeks pembuatan meningkat pada kadar yang perlahan iaitu 0.7 peratus berbanding 1.0 peratus yang direkodkan pada Mei 2022 dipacu oleh kenaikan dalam indeks bagi subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (1.8%), pembuatan komponen & papan elektronik (1.2%) dan pembuatan kimia asas, baja & sebatian nitrogen, plastik & getah sintetik dalam bentuk primer (1.2%).

Namun begitu, kenaikan ini diimbangi dengan penurunan dalam indeks pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (-0.3%) dan pembuatan besi & keluli asas (-0.2%).

Indeks bekalan air meningkat 0.7 peratus, manakala, indeks bekalan elektrik & gas menurun 0.4 peratus.

Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat pada kadar yang perlahan iaitu 16.9 peratus pada Jun 2022
berbanding 17.3 peratus direkodkan pada Mei 2022 disumbangkan oleh indeks bahan bukan makanan (19.2%) dan bahan makanan & makanan untuk binatang (4.8%).

Pada masa yang sama, indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen meningkat 13.0 peratus pada Jun 2022, rendah sedikit berbanding 13.5 peratus yang direkodkan pada Mei 2022 didorong oleh kenaikan dalam indeks bahan api yang diproses &
pelincir (18.0%), bahan & komponen untuk pembuatan (14.1%) dan bekalan (6.3%).

Selain itu, indeks barang siap mencatatkan peningkatan lebih tinggi pada Jun 2022 dengan 1.6 peratus (Mei 2022: 1.0%), disokong oleh peningkatan dalam indeks makanan pengguna siap (6.7%).

Pada suku tahun kedua 2022, IHPR pengeluaran tempatan merekodkan kenaikan 11.1 peratus (ST1 2022: 10.2%) dipacu oleh indeks perlombongan (18.8%), pertanian, perhutanan & perikanan (17.6%), pembuatan (10.0%) dan bekalan air (1.5%).

Indeks Bekalan elektrik & gas turun 0.1 peratus.
Melihat kepada inflasi di peringkat pengeluar bagi beberapa negara terpilih, Mohd Uzir berkata, inflasi di peringkat pengeluar pada Jun 2022 bagi Jerman (32.7%), United Kingdom (16.5%) dan Amerika Syarikat (11.3%) adalah lebih tinggi daripada
Malaysia (10.9%).

Kenaikan di Jerman didorong oleh kenaikan harga tenaga (gas asli dan elektrik) manakala peningkatan di United Kingdom didorong antaranya oleh produk petroleum (86.1%), kimia & farmasutikal (22.9%) dan produk makanan (12.3%).

Pada masa yang sama, kenaikan harga gasolin, diesel, kenderaan bermotor & kelengkapan dan gas asli menyumbang kepada kenaikan 11.3 peratus bagi inflasi di peringkat pengeluar di Amerika Syarikat pada Jun 2022.

Bagi negara Asia Pasifik terpilih, Jepun dan Korea merekodkan kenaikan masing-masing pada kadar 9.2 peratus dan 9.9 peratus pada Jun 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast