Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menyambut baik keputusan Dewan Rakyat semalam yang telah meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan meluluskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) berkuatkuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya menghargai usaha kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri yang telah mengemukakan semula usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selain membacakan RUU IPCC 2020 untuk kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat.

Menurutnya, komitmen KDN dan ahli Parlimen dalam membolehkan usul pelanjutan tempoh kuat kuasa kedua-dua undang-undang itu diluluskan adalah sokongan yang sangat besar dalam penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.

“PDRM komited untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Perkembangan membabitkan pelanjutan subseksyen ini akan memberikan peluang untuk PDRM untuk menjalankan tanggungjawab berkenaan dengan lebih efisien demi kesejahteraan keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Acryl, PDRM juga menyambut baik usaha kerajaan ke arah penubuhan IPCC yang diyakini demi mengembalikan keyakinan masyarakat kepada pasukan polis.

Semalam, Dewan Rakyat telah meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) untuk terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Usul berkenaan dibentangkan semula oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas Dewan Rakyat pada minggu lalu meluluskan usul membatalkan keputusan dewan pada 23 Mac lepas.

Kata Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, subseksyen itu perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Subseksyen itu antaranya menyebut, seorang pegawai polis yang berpangkat penguasa atau berpangkat lebih tinggi boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan. – MalaysiaGazette