Gambar hiasan

MAJORITI penjawat awam di Malaysia telah menerima berita pengumuman calon-calon Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 bagi jabatan atau bahagian masing-masing. Ini merujuk kepada pemberian anugerah perkhidmatan cemerlang kepada mereka yang disahkan oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM) jabatan/bahagian merujuk kepada markah prestasi tahun 2021.

Sejak pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada tahun 2002 penerima APC mendapat sekeping sijil sebagai menghargai anugerah tersebut, wang tunai berjumlah RM1000.00, keutamaan untuk hadir ke kursus atau program latihan pada tahun berikutnya serta gambar penerima-penerima anugerah tersebut akan dipamerkan di suatu sudut dalam jabatan/bahagian. Hari ini penggunaan laman web jabatan/bahagian dan media sosial memudahkan urusan mempamerkan gambar penerima anugerah sebagai tatapan dan menjadi ikon jabatan/bahagian.

Ironinya, pelbagai stigma dan cerita termasuk konotasi yang kurang baik sering dikaitkan dengan penerima APC. Walau masih ramai menganggap APC sebagai suatu anugerah atas dasar giliran, tidak kurang juga yang mempertikaikan pemilihan penerima APC dari kalangan warga kerja yang menjadi kegemaran sesetengah ketua jabatan, sedangkan ada staf lain yang mendapat markah lebih tinggi pada tahun tersebut.

Saban tahun inilah persoalan yang menjadi topik perbincangan dalam ‘sesi membawang’ dalam kalangan penjawat awam. Persoalannya, berbaloikah perkara ini dijadikan perbincangan sewaktu sarapan pagi di pejabat, dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp, serta lain-lain platform yang adakalanya menjurus kepada perbuatan fitnah dan mengadu domba. Apakah terlalu besar nilai RM1000.00 hari ini sedang rata-rata rakyat Malaysia di segenap pelosok negara bercerita tentang betapa kecilnya nilai ringgit dan terus membandingkan nilai ringgit berbanding barang keperluan di pasaraya dahulu dan hari ini?

Tidak kurang juga dengan kumpulan di pejabat yang menangguk di air keruh. Penerima APC kadangkala ‘dikenakan dengan cara baik’ apabila rakan-rakan pejabat minta dibelanja oleh penerima APC. Benar, rezeki untuk dikongsi. Tidak salah untuk bersedekah kerana ia amalan yang mulia. Untuk penerima APC belanja rakan-rakan di pejabat kalau pun dalam kumpulan yang kecil barangkali sudah memakan nilai ratusan ringgit sekiranya makan di restoran.

Ada juga yang berpakat sesama penerima APC untuk berkongsi kos dengan mengadakan jamuan di pejabat supaya kumpulan yang besar dapat sama-sama menikmati dan diraikan. Ini adalah antara amalan mulia yang boleh dilakukan dalam mengharmonikan suasana di pejabat. Persoalannya, adakah amalan dan perbuatan tersebut mampu mengurangkan kontroversi di sebalik pemilihan calon APC tersebut?

Sewajarnya perkhidmatan awam berkembang mengikut peredaran zaman sepertimana dalam perkara-perkara melibatkan pengurusan sumber manusia sektor awam. Wang hadiah bernilai RM1000.00 pada tahun 2022 sangat berbeza nilainya jika dibandingkan dengan nilai wang tersebut sewaktu pelaksanaan SSM pada tahun 2002. Mengambil kira beban kewangan kerajaan hari ini, sudah sampai masanya pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula nilai hadiah wang tunai untuk penerima APC ke suatu nilai yang munasabah.

Insentif dan faedah selain dalam bentuk tunai kepada penerima APC juga wajar dipertimbangkan. Perkara ini penting bagi meletakkan penerima APC di tempat yang betul sesuai dengan cabaran dan kritikan yang diterima. Julai ialah bulan yang penting kepada penjawat awam di Malaysia.

Pada bulan ini, semakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) perlu dilakukan oleh pegawai yang dinilai (PYD) bersama pegawai penilai pertama (PPP). Ini proses penting dalam perjalanan penilaian prestasi sektor awam. Manfaatkan ruang ini untuk susun semula strategi jabatan/bahagian dan memastikan sasaran atau key performance indicator (KPI) ditetapkan mampu dicapai di hujung tahun. Inilah yang perlu menjadi keutamaan kepada ‘bakal penerima APC tahun hadapan’ supaya apabila menerima anugerah nanti anda dikatakan memang layak dan tidak menjadi sebahagian daripada mereka yang akan diumpat dan dikeji.

Kepada ketua jabatan dan mereka yang bertanggungjawab sebagai ahli PPSM, sedar dan insaflah apabila menamakan pencalonan APC. Pilih mereka yang benar-benar cemerlang dan kompeten dan bukan atas dasar favoritism atau memilih staf kegemaran sesetengah pihak. Lebih penting lagi, penilaian calon APC bukanlah atas giliran mengikut jawatan atau bahagian tertentu.

Sebaliknya penerima APC adalah mereka yang benar-benar cemerlang pada tahun penilaian dan layak diangkat sebagai ikon jabatan/bahagian bagi memastikan perkhidmatan awam di Malaysia terus gemilang. Sekiranya masih ada ketua jabatan hari ini yang masih berkhidmat dan pernah melalui Sistem Saraan Baru (SSB) iaitu sebelum tahun 2002, insaflah wahai tuan puan sekalian.

Sekarang bukan lagi zaman SSB. Kita sudah berpuluh tahun melaksanakan SSM dan mungkin berada di penghujung era SSM bilamana perkhidmatan awam hari ini sudah bergerak berperingkat-peringkat ke arah pengurusan bakat berasaskan kompetensi. Jangan terbawa-bawa lagi pemikiran SSB dengan insentif gaji ‘menegak’, ‘melintang’ dan sebagainya yang sudah berlalu dan dulunya juga penuh kontroversi. Garis panduan sedia ada sepatutnya menambah baik perkhidmatan awam di Malaysia, maka janganlah pelaksanaannya pula menambah buruk keadaan sedia ada.

Oleh: Ts. Mohd Rafizi Rahmad
Timbalan Pendaftar Kanan
Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD)
Universiti Teknologi MARA (UiTM) &

Sheema Liza Idris
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Bahasa
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast