PETALING JAYA – Polis sedang menunggu kerjasama daripada pelakon dan penyanyi, Lufya Omar yang mendakwa berdepan detik cemas apabila dipukul di bahagian kepala dan badan dengan kayu dalam cubaan menculik anak perempuannya, Laana Haura, 5, di taman permainan di Kota Damansara pada 26 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis masih menjalankan siasatan dalam kes tersebut dan sudah mengarahkan Lufya atau nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar untuk membawa anaknya bagi dirakam keterangan.
“Dalam kes Lufya, kita masih menjalankan siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana cubaan culik. Kita masih meneruskan siasatan dan dalam proses untuk mendapatkan fotofit suspek dan juga mahu mengambil keterangan anak beliau iaitu mangsa kejadian cubaan culik itu,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelupusan Barang kes Komputer Perjudian di Balai Polis Ara Damansara yang dihadiri dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.
Ditanya mengenai tahap siasatan kes tersebut setakat ini, Mohamad Fakhrudin menambah polis masih menunggu Lufya tampil memberi kerjasama.
“Kita sudah beberapa kali telah memanggil beliau (Lufia) untuk mendapatkan kerjasama bagi membolehkan polis mengambil maklumat berkaitan siasatan kita.
“Bukannya dia tak nak datang beri keterangan.. mungkin dia ada hal lain komited.. Jadi sekarang kes ini masih diteruskan siasatannya dan memerlukan kerjasama dia secepat mungkin,” tegasnya.
Terdahulu media melaporkan Lufya melalui detik cemas apabila berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki yang bertindak mahu menculik anak perempuannya semasa berada di taman permainan.
Lufya mendakwa, seorang lelaki berbadan besar memukulnya dengan teruk ketika cuba menyelamatkan anaknya dalam kejadian kira-kira 4 petang itu.
“Selama ini, saya melihat babak atau aksi ganas dalam kaca televisyen dan pawagam. Lelaki (penjenayah) itu memukul saya dengan kayu pada bahagian kepala dan badan menyebabkan saya alami kecederaan agak teruk.
“Syukur, saya dan anak selamat. Ketika kejadian, Laana sempat menjerit meminta tolong, namun tiada sesiapa di tempat kejadian dapat membantu.
“Nasib baik, saya pernah belajar bertinju, jadi boleh mempertahankan diri dengan sempat menendang muka dan menumbuk alat sulit lelaki itu, sebelum berjaya menyelamatkan diri,” jelasnya.
Wanita itu membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Kota Damansara kira-kira jam 9 pagi pada 29 Jun lalu.
Dalam majlis berkenaan membabitkan pelupusan barang kes perjudian yang dirampas sejak tahun 2015 hingga 2022 merangkumi 670 kertas siasatan dan barang kes am yang dirampas sejak 2007 hingga 2021 membabitkan 383 kertas siasatan.
Barang kes am yang dilupuskan adalah sebanyak 1,840 merangkumi pakaian, senjata berbahaya iaitu pisau parang, besi, telefon bimbit, kamera, dokumen laporan forensik dan bahan kimia.
Manakala sebanyak 5,361 barang kes perjudian yang akan dilupuskan terdiri 3,914 peralatan elektronik seperti komputer riba, telefon dan tablet dirampas kegiatan perjudian online dan mesin simulator.
Manakala wang tunai lebih RM101,000 yang disyaki hasil perjudian juga diserahkan kepada Jabatan Perbendaharaan Negara. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: