Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 27 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diperdengarkan dengan pengakuan saksi utama pendakwaan kes rasuah projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion bagaimana dirinya cukup terhutang budi dengan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Justeru itu, dakwa Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (ZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, dirinya tidak mungkin akan sesekali mereka-reka cerita dalam prosiding rasuah yang sedang dihadapi oleh bekas Menteri Kewangan itu.

Jelas Zarul, beliau tidak mahu langsung mengaitkan Guan Eng ketika siasatan berhubung projek mega itu mula disiasat.

Sebaliknya, saksi bertindak mengarahkan bekas pengarah, Ibrahim Sahari dan bekas Naib Presiden Kanan Kewangan dan Perkhidmatan Korporat, Azli Adam menggunakan invois yang dipalsukan bertujuan supaya nama Guan Eng tidak terpalit sama.

“Saya tahu satu kesalahan memalsukan baucer tetapi saya melakukannya kerana tidak mahu nama ‘YB terkeluar dalam mana-mana rekod. Saya terhutang budi dengannya,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Zarul berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sesi pemeriksaan utama pada prosiding terhadap Guan Eng atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik saksi.

Saksi ke-23 itu juga mendedahkan kepada mahkamah Guan Eng telah mengarahkannya untuk memberi kenyataan kepada media selepas dibebaskan dari tahanan reman selama 11 hari pada sekitar Januari 2018 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ketika itu saya telah terima arahan daripada YB untuk memberitahu bayangkan diri saya telah dipaksa beri kenyataan kepada SPRM ketika siasatan,” ujarnya.

Prosiding mahkamah di tangguhkan sehingga 4 Ogos ini bagi membolehkan pasukan mewakili Guan Eng yang diketuai oleh Gobind Singh Deo membuat pemeriksaan balas.

Ketika ini, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan sedang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Guan Eng itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – MalaysiaGazette