Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim. Foto: HAZROL ZAINAL, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Dua remaja yang ditemukan mati dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di ruang parkir kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada 29 Mei lalu  tidak ada kaitan dengan mana-mana penghuni kondominium tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, maklumat itu diperoleh pihaknya berdasarkan siasatan dan rakaman keterangan yang diambil daripada beberapa individu sepanjang tempoh siasatan itu dijalankan.

“Setakat ini, siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa tiada kena-mengena dengan pemilik parkir atau penghuni di kondominium tersebut.

“Malahan kita juga sudah merakam keterangan ramai pihak termasuk ahli keluarga kedua-dua mangsa, kenalan mereka, pihak kondominium dan juga individu sekelilingnya yang dipercayai boleh membantu siasatan polis dalam kes ini.

“Namun, semua keterangan itu perlu untuk kita mendapatkan kesimpulan kes bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum ia dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya,” kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua mayat ditemui dalam kenderaan

Polis kenalpasti identiti mayat dua remaja dalam Alphard

Azmi berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur 2022 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini membabitkan seramai 198 penerima yang terdiri daripada pesara dan juga pegawai dalam perkhidmatan polis hari ini.

Istiadat penganugerahan itu telah dihadiri dan disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain beserta kesemua ketua-ketua polis dari enam daerah di bawah kontinjen Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Azmi menambah pihaknya juga masih sedang menanti laporan lengkap perubatan daripada Jabatan Kimia untuk mengenal pasti punca kematian kedua-dua remaja itu.

Bagaimanapun laporan itu mengambil masa agak lama memandangkan ia membabitkan beberapa agensi berbeza.

Terdahulu, polis menerima laporan kehilangan kedua-dua remaja berkenaan yang masing-masing dibuat ahli keluarga di Klang dan Shah Alam, Selangor pada 23 dan 24 Mei lalu.

Namun kedua-dua remaja itu kemudian ditemui meninggal dunia di dalam MPV berkenaan hasil maklumat daripada orang awam di tempat kejadian.

Siasatan awal berjaya menemukan mayat remaja perempuan di bahagian penumpang hadapan manakala lelaki terbabit berada di bahagian penumpang belakang MPV berkenaan.

Polis sehingga kini menyiasat dan mengklasifikasikan kes sebagai mati pengejut.- MalaysiaGazette