Anggota forensik menjalankan siasatan susulan penemuan dua mayat di dalam sebuah kenderaan di Cheras.

KUALA LUMPUR – Dua mayat ditemui di dalam sebuah kereta yang diparkir di kawasan  kawasan bawah tanah di sebuah bangunan kediaman di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam yang menemui mayat dalam Toyota Alphard jam lebih kurang 8.26 malam.

Katanya, siasatan di lokasi polis menemui mayat seorang wanita tempatan di bahagian penumpang hadapan dan mayat seorang lelaki tempatan di tempat duduk belakang.

Kedua-dua mereka berusia 19 tahun.

Tambah Muhammad Idzam, pemeriksaan pada badan kedua-dua mayat itu serta lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan.

Kedua-dua mereka hanya rakan kenalan dan bukannya penghuni kediaman tersebut.

Malah kenderaan itu diparkir di situ sejak lima hari lalu dan tiada sebarang nota ditinggalkan oleh kedua-dua simati.

Kedua-dua mayat telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras, untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Ketua Polis Balai Salak Selatan, Inspektor Muhd Arfizan Ab Aziz di talian 019-9198729, Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette