Azmi Zainal menyampaikan biasiswa sempena Program Biasiswa Murid Orang Asli kepada salah seorang penerima di di Kompleks Tenusu Farm Fresh Berhad, di sini hari ini.

MUADZAM SHAH – Farm Fresh Berhad memperuntukkan RM900,000 dalam projek rintis Program Biasiswa Murid Orang Asli bagi lima buah sekolah terpilih di sekitar Rompin.

Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, seramai 20 orang pelajar darjah lima dan enam dari sekolah terbabit telah terpilih menyertai program tersebut.

“Ia akan menjadi motivasi dan galakan kepada murid lain untuk belajar dengan cemerlang dan akhirnya  menerima biasiswa,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program tersebut di Kompleks Tenusu Farm Fresh Berhad, di sini hari ini.

Azmi Zainal

Sebelum itu, katanya, seramai 45 orang pelajar telah disenarai pendek melalui proses saringan oleh pihak sekolah diikuti temu bual dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Antara kriteria pemilihan merangkumi tahap akademik dan rekod kedatangan yang baik serta mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi untuk maju dan berjaya.

Penilaian terhadap kewibawaan diri, penampilan, kepetahan bertutur, kecerdasan minda, keyakinan diri dan pengetahuan am juga diambil kira,tambahnya.

Mereka akan diberikan RM150 setiap bulan bergantung kepada tahap pencapaian pendidikan yang disemak secara berkala dengan pihak sekolah.

Menurut Azmi, kesemua pelajar yang terpilih mengikuti program terbabit akan ditawarkan biasiswa sehingga ke peringkat pengajian tinggi sekiranya terus merekodkan pencapaian cemerlang.

Mereka kemudian akan ditawarkan berkhidmat dengan Farm Fresh setelah berjaya menamatkan pelajaran sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Salah seorang pelajar yang menerima biasiswa iaitu Azuwen Amir, darjah 6 dari SK Buluh Nipis, Ibam tidak dapat menahan kegembiraan setelah dimaklumkan guru sekolahnya berjaya menjadi penerima biasiswa terbabit.

Ibam Azuwen Amir

“Bagus dapat biasiswa ini sebab dapat bantu ayah. Ayah tak perlu keluar belanja beli keperluan sekolah,” katanya.

Murid darjah lima SK Denai, Azliny a/p Azman menjadi kebanggaan keluarganya selepas dimaklumkan terpilih menyertai program rintis ini.

“Mak ayah sangat bangga dan saya berterima kasih kepada cikgu, Farm Fresh sebab terpilih.

“Tapi kena belajar betul-betul, rajin, kena datang kelas, jangan ponteng sekolah,” katanya sambil tersenyum.

 

Azliny a/p Azman

Seorang lagi pelajar cilik SK Denai, Endau, Rompin, Putri Exora Syuhada A/p Riza turut meluahkan kegembiraan kerana terpilih menyertai program berkenaan.

“Gembiralah, tapi mesti terus belajar dengan rajin kalau mahu terus dapat biasiswa,” kata murid darjah lima ini.

Putri Exora Syuhada A/p Rizal

Program Biasiswa Murid Orang Asli Farm Fresh telah diusahakan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Pejabat Pendidikan Daerah Rompin. – MalaysiaGazette