KUANTAN _ Kerajaan Negeri Pahang akan membina sebuah Kompleks Pentadbiran Daerah Kecil Jelai di Jalan Bukit Betong – Kepong, Lipis bernilai RM12 juta.
Kemudahan itu akan memberi manfaat kepada 40,000 orang penduduk di 30 kampung termasuk perkampung Orang Asli.
Menteri Besar pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan ismail berkata, pembinaan bangunan seluas 2.528 ekar itu akan dibangunkan pada penghujung tahun ini dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.
Menurutnya, kompleks itu akan menyediakan perkhidmatan pembayaran hasil, hak milik dan pusaka tanah, urusan berkaitan projek pembangunan luar bandar, pembayaran bil air dan elektrik, permohonan bantuan kebajikan, serta urusan berkaitan syariah dan agama Islam, katanya menerusi kenyataan hari ini.
Wan Rosdy yang juga ADUN Jelai berkata, Pejabat Daerah Kecil Jelai yang kini beroperasi di tapak sementara di Balai Serbaguna Bukit Betong berjaya mencatatkan kutipan hasil yang cukup memberangsangkan.
Ini kerana, penduduk sekitar tidak perlu lagi berkunjung ke Pejabat Daerah dan Tanah Lipis yang terletak di bandar Lipis, yang mana jaraknya 30 kilometer dari pejabat sementara ini. mengambil masa 40 minit masa perjalanan. – MalaysiaGazette