KOTA BHARU – Bekas anggota polis diseru supaya terus memainkan peranan bagi membantu kerajaan agar rakyat dan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat.
Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, peranan mereka perlu memandangkan kebelakangan ini pelbagai karenah timbul sejak ledakan teknologi maklumat disalahgunakan.
Beliau berkata, medium sosial maya seperti Facebook, Instagram, Tik Tok, aplikasi Whatsapp dan banyak lagi telah dijadikan saluran mudah pihak tertentu untuk membuat fitnah, menyebar berita palsu, menghina Islam, Institusi Raja serta mempersoalkan Asas Perlembagaan Negara dengan berluasa.
“Walaupun ada tindakan diambil, tetapi nampaknya tidak memberi keinsafan kerana dunia tanpa sempadan membolehkan dengan senang orang jahat terlepas dari undang-undang.
“Undang-undang sedia ada pula tidak cukup untuk pihak keselamatan bertindak cepat dan berkesan serta mencegah sebelum menjadi lebih buruk, apatah lagi apabila Akta ISA dimansuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Pesara Polis Negeri Kelantan (PKPPNK) di sebuah hotel di sini, semalam.
Kata Ibrahim, beliau menghargai Akta ISA walaupun dua kali ditahan kerana pengalaman memberi pengajaran betapa pentingnya mencegah dengan cepat dan berkesan sebelum negara menjadi huru hara dan keselamatan rakyat terancam.
Menurut beliau, Singapura sebuah negara maju, stabil dan tidak ada isu perkauman serta sensitiviti keagamaan pun sampai kini terus mengekalkan Akta ISA.
Di Malaysia, ujarnya, pemimpin terlebih bijak dan pandai kerana menjadi populis atau mencari undi serta sokongan, sanggup memansuhkan akta itu, tanpa mengambil kira kesan buruk ketiadaan undang-undang berkenaan.
“Saya yakin jika Akta ISA masih wujud, keadaan tidak menjadi seburuk hari ini seperti penghinaan terhadap Rasullulah SAW dan Islam. Saya sentiasa menyebut ISA adalah Taming Sari Negara iaitu tiang keselamatan rakyat dan negara.
“Tindakan melalui undang-undang jenayah sivil mengambil masa dan hukuman tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan dan berapa banyak denda sekali pun yang melakukan angkara buruk boleh membayar denda.
“Ada pula orang ramai sanggup membiayai pesalah dan ini jelas sebahagian rakyat tidak menghargai keselamatan dan asas prinsip Perlembagaan Negara,” katanya.
Menurut Ibrahim, sebab itu beliau masih terus bersuara tidak henti-henti sampai sekarang agar dikembalikan ISA kerana orang politik hanya mementingkan kesejahteraan rakyat serta keselamatan negara daripada mencari populariti diri.
Ujarnya, ketika perbahasan Akta ISA untuk dimansuhkan sebelum PRU13 di Dewan Rakyat, beliau seorang sahaja daripada 222 Ahli Parlimen menentang pemansuhan akta itu secara bahawa negara sudah kehilangan Taming Sari.
Sebab itu, kata beliau, bekas anggota polis terutama yang berkhidmat di Cawangan Khas dan Jenayah Terancam, jangan sekali-kali sia-sia dan buang begitu sahaja pengalaman 30 hingga 40 berkhidmat dengan PDRM untuk terus berperanan menjadi mata telinga demi keselamatan rakyat dan negara.
“Sudah ada beberapa NGO bekas polis diketuai bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Aman memainkan peranan ini, tetapi yang lain-lain patut melibatkan diri dan menjadi pemain yang aktif untuk terus menyumbangkan khidmat.
“PDRM pula patut memikirkan cara dan bagaimana pesara ini boleh digunakan untuk membantu dalam urusan menjamin kelangsungan keselamatan negara.
“Kerajaan jangan terlepas pandang atau seperti melepas batok di tangga dalam menjaga kebajikan pesara polis dan juga tentera,” katanya yang menyifatkan kebajikan yang diambil peduli bagaikan setitik air dalam lautan, tidak sepadan dengan khidmat dan pengorbanan mereka ini.
Beliau menyarankan kerajaan, apa sahaja lesen, AP dan peluang perniagaan yang ada diberikan keutamaan kepada pesara polis dan tentera.
Tetapi, tegas Ibrahim, ini semua termasuk dalam Hak Keistimewaan Melayu yang banyak pihak tidak menyedarinya.
Pesara polis sudah pasti yakin rakyat dan negara akan selamat kalau pemimpin yang diundi adalah mereka yang bersih, bermoral dan hati serta jiwanya benar-benar berkhidmat untuk rakyat, ujar beliau.
Katanya, mereka boleh memainkan peranan menyedarkan rakyat supaya pilih pemimpin atau calon berwibawa dan bermoral. – MalaysiaGazette