KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Selangor mendakwa kerajaan negeri termasuk anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak lagi memberi fokus kepada usaha pemilikan rumah mampu milik.
Naib Ketuanya, Amin Mohd Shukor berkata, kerajaan negeri lebih berminat kepada pembinaan rumah mampu tengok dan nilai komersial demi keuntungan semata-mata serta projek cukup syarat untuk mengaburi mata rakyat.
“Isu yang membelenggu anak-anak muda terhadap pemilikan rumah pertama ini amat serius sekali di Selangor.
“Perkara ini bukan berkait rapat soal kemampuan ekonomi kendiri anak muda, malah ada beberapa polisi asas kerajaan negeri yang dilihat tidak serius dan tidak mesra anak muda bagi diselesaikan perkara ini.
“Sebagai kerajaan yang mentadbir polisi serta pelaksanaan bagi tujuan membantu rakyat itu perlu lebih ‘ikhlas’, efisien dan realistik dalam pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri tidak perlu mempertonton pelan-pelan tindakan yang bersifat retorik kosmetik dan hanya cantik di atas kertas pembentangan sahaja khususnya dalam kebanyakan jelajah yang sedang diadakan ketika ini.
“Ini bukan isu politik ataupun isu perkauman, tetapi ianya adalah isu ‘fundamental’ rakyat khususnya keperluan anak muda kini yang perlu diambil berat oleh mana-mana kerajaan yang mentadbir,” katanya. – MalaysiaGazette