Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang membidas kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai reformis yang tak diendahkan.

Kit Siang berkata, ia berbeza dengan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang pernah meminta sokongan DAP bagi menjadikan dirinya sebagai Perdana Menteri.

“Azhar silap sama sekali apabila dia mengatakan yang Muhyiddin tidak pernah meminta untuk menjadi perdana menteri.

“Saya tahu perkara ini kerana Muhyiddin telah meminta kepada saya untuk mendapatkan sokongan DAP bagi menjadi Perdana Menteri pada Julai 2016.

“Tetapi saya menolak untuk berbuat demikian kerana DAP telah komited untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Azhar Azizan dalam ucapannya semalam menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang reformis yang tidak diendahkan selepas apa yang dicapainya sejak disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2015.

Azhar antara lain membangkitkan kebangkitan semula Muhyiddin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menjadi sebahagian daripada gabungan yang menamatkan kuasa UMNO selama 61 tahun.

Malah agenda pembaharuannya ketika menjadi menteri dalam negeri, dan usahanya memimpin negara di awal penularan wabak Covid-19.

“Muhyiddin Yassin, perdana menteri kelapan adalah tokoh nasional yang masyhur, personaliti unggul dan seorang pembaharu, yang mana ramai memilih untuk tidak mengendahkan usaha pembaharuannya, atas apa jua sebab mereka,” katanya pada pelancaran buku Muhyiddin Yassin: Leading a Nation in Unprecedented Crisis oleh Abdul Mutalib Razak semalam.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, dirinya hanya mengingati bahawa Muhyiddin lebih banyak berdepan kegagalan daripada kejayaan.

Jelas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, Muhyiddin lebih sinonim dengan Langkah Sheraton dan pengumuman daruratnya yang tidak sah dari segi perlembagaan selama enam bulan.

Malah pentabiran Muhyiddin lebih kepada antara rekod terburuk dunia dalam mengendalikan wabak Covid-19 dan mempunyai Kabinet gergasi terbesar dengan 32 orang menteri serta 38 orang timbalan menteri.

“Peningkatan mendadak kes dan kematian akibat Covid-19 sejak daripada pengumuman darurat ini menunjukkan yang darurat yang telah menggantung sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ini adalah ubat yang salah kepada pandemik Covid-19, malah merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh pihak Eksekutif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette