Datuk Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak melayan sebarang kehendak daripada parti Bersatu.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, parti yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin itu merupakan sarang pengkhianat.

Dalam ucapan pada Konvensyen Puteri BN hari ini, Zahida menegaskan Puteri UMNO tidak sabar untuk melihat ‘katak politik ditanam’ termasuk bekas Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang berpindah ke Bersatu.

“Tahniah, di atas kejayaan meminda perlembagaan bagi membolehkan akta anti lompat parti diadakan.

“Ingat, Bersatu adalah sarang bagi pengkianat yang tidak perlu dilayan kehendaknya.

“Kami tidak sabar menunggu pilihan raya diadakan segera. Kami tidak sabar untuk melihat katak-katak pengkianat termasuk bekas pemimpin pergerakan Puteri UMNO sendiri, ditanam politiknya,” kata Zahida.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu sebanyak 14 Ahli Parlimen UMNO melompat ke Bersatu selepas Barisan Nasional tewas.

Sementara itu, Zahida meletakkan syarat bahawa pergerakan itu hanya akan bekerja memenangkan parti sekiranya BN tidak meletakkan calon yang bersikap seksis.

“Parti nak menang. Kami tetap akan bekerja untuk memmastikan kemenangan calon-calon BN. Dengan syarat, parti juga mesti mengemukakan calon yang faham tentang aspirasi wanita. Faham apa itu pemerkasan wanita.

“Parti kena bertegas dengan mereka yang berpandangan sexist dan rasis, yang suka mempersendakan wanita, yang suka merendahkan wanita dan yang bertingkah laku yang memualkan terhadap wanita. Kami juga sangat sensitif dengan mereka ini.

“Kalau seluruh masyarakat mual dengan mereka, parti tidak lagi boleh mengharapkan kami mempertahankan mereka. Full stop. No way brother! Lelaki MCP, male cauvinist person, lelaki yang menganggap dialah dewa segalanya, sepatutnya tiada tempat dalam Barisan Nasional,” katanya.

Zahida dalam sidang media kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak melemparkan kenyataan itu pada mana-mana pihak.

Dewan Rakyat baru-baru ini gamat selepas seorang wakil rakyat DAP menamakan tiga Ahli Parlimen yang sering mengeluarkan kenyataan berunsur seksis, di Dewan Rakyat.

Teo Nie Ching (PH-Kulai) membangkitkan perkara itu, ketika menamakan Bung Moktar Radin (BN- Kinabatangan), Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim (BN- Baling) dan Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak).

Bagaimanapun ketiga-tiga ahli Parlimen terbabit menafikan dakwaan yang dibuat oleh Nie Ching.-MalaysiaGazette