Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) akan berlangsung pada bila-bila masa.

Menurutnya, dua peristiwa yang berlaku minggu lalu seolah-olah menjadi petanda bawa PRU15 akan dilaksanakan dengan segera.

Peristiwa pertama melibatkan lulusnya Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat.

Petanda kedua melibatkan kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk membenarkan pemilihan UMNO berlangsung selepas PRU15.

Dalam ucapannya pada Konvensyen Puteri BN di ibu negara hari ini, Ahmad Zahid mendesak supaya ‘mandat rakyat’ dikembalikan dalam tahun ini juga.

“Dengan kejayaan 209 yang menyokong Akta Lompat Politik ertinya kita buta warna terhadap demokrasi harus dilakukan dengan segera dan mandat rakyat harus diperolehi segera pada tahun ini juga.

“Bukan itu sahaja UMNO sebagai tulang belakang BN telah mendapat kelulusan RoS agar pilihan raya dulu pemilihan kemudian.

“Dua mesej penting ini petanda bahawa keberadaan Puteri daripada pelbagai komponen BN dan friend of BN ianya merupakan satu kesiapsiagaan seolah-olah Parlimen akan dibubarkan pada bila-bila masa,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, BN tidak seharusnya menunggu terlalu lama untuk mengadakan pilihan raya.

“Semasa rakyat masih mahukan BN, semasa pengundi merindukan BN jangan tunggu lama-lama nanti diambil orang,” katanya berkias.

Pada sidang media kemudian Ahmad Zahid berkata, soal menentukan pilihan raya terletak pada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Beliau yakin, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh yang diingini.

“Saya fikir, RUU Lompat Parti manifesti bahasa semua parti bersetuju agar satu usaha untuk mengelakkan mandat rakyat terburai apabila kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti atau kumpulan itu.

“Maka soal akan mempercepatkan proses penentuan dan sebagainya itu adalah kuasa Agong dan nasihat daripada PM. Kita yakin bila mendung telah berlalu maka mentari akan semakin cerah,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, BN akan meletakkan banyak calon baharu pada PRU15.

Ini berdasarkan penerimaan rakyat terhadap calon baharu seperti pada Pilihan Raya Negeri Sabah, Melaka dan Johor yang menyaksikan kemenangan BN dengan cemerlang. -MalaysiaGazette