Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada program Jelajah Harapan Selangor di Dewan Serbaguna MPAJ Lembah Keramat, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Usaha Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara adalah berlandaskan kepada panduan daripada Nabi Muhammad SAW yang bijak mengatur strategi untuk maju ke hadapan.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peristiwa hijrah baginda menjadi contoh buat PH melaksanakan perancangan secara berperingkat bagi menjamin kestabilan politik.

“Nabi Muhammad ajar kalau kita ingin buat perubahan, ianya tidak boleh sekelip mata. Kita tidak boleh buat dalam tempoh 24 jam, kita kena ada strategi.

“Nabi tinggalkan tempat lahir untuk berpindah ke Madinah. Itu adalah strategi yang merupakan proses pembukaan. Baginda banyak strategi seperti menyusun pasukan untuk mengaburi musuh dan lain-lain, jadi itulah juga yang dilakukan PH ketika kita menang dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Harapan Selangor bagi siri keempat di Dewan Serbaguna Lembah Keramat, di sini, semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika berucap pada program Jelajah Harapan Selangor di Dewan Serbaguna MPAJ Lembah Keramat, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 JULAI 2022.

Jelasnya, strategi baginda yang membuat perancangan secara berperingkat itu telah diaplikasikan bermula sejak 2008 yang menghasilkan kejayaan Pakatan Rakyat (PR) merampas Selangor.

“Pada tahun 2008, PR berjaya menafikan dua per tiga buat kali pertama setelah puluhan tahun yang dicapai pada tahun 1969 yang lalu.

“Kemudian, pada tahun 2013, kali pertama undi majoriti Barisan Nasional (BN) di seluruh negara tidak sampai 50 peratus. Pilihan raya yang lepas, UMNO dan BN kali pertama kalah. Ini rekod yang dibuat fasa demi fasa secara berperingkat,” jelasnya.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor mendakwa, strategi PH itu tidak mampu kekal lama apabila UMNO dan Barisan Nasional berasa tercabar sehingga terpaksa bangkitkan isu perkauman dan agama untuk memecahbelahkan rakyat.

Tambahnya, kewujudan ahli Dewan Rakyat yang sanggup melompat parti dan menjadi ‘pelacur’ politik telah memusnahkan strategi yang diatur PH dalam memulihkan negara.

“Siapa tak marah bila kita menang pilihan raya tapi kita digagalkan dengan lompatan katak-katak dan ‘pelacur’ politik yang gila dengan kuasa atas sebab peribadi.”

“Mereka ini lompat dan tinggalkan perjuangan bersama dengan musuh yang kita kalahkan. Tiada kebaikan Langkah Sheraton, sampai sekarang kerajaan tak stabil, tukar Perdana Menteri berulang kali tapi sampai sekarang ada ugut sana-sini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat tidak berputus-asa untuk bersama dengan perjuangan PH bagi mentadbir semula negara ini dengan mengulang kembali kejayaan pada pilihan raya yang lepas. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nabi tak menipu rakyat…PH kaki penipu..manifesto bukan kitab suci…air percuma mana musibat!

Comments are closed.