Sejumlah 107 individu ditahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak Januari lalu kerana terlibat sindiket pemalsuan kad pengenalan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 107 individu ditahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak Januari lalu kerana terlibat sindiket pemalsuan kad pengenalan.

KDN berkata, jumlah itu daripada 317 operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) iaitu 249 operasi penguakuasaan kendalian JPN dan 38 operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain.

“Hasil daripada operasi yang dijadualkan, JPN telah menangkap seramai 107 orang individu.

“Daripada jumlah tersebut, 36 orang individu telah didakwa atas kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu 19 orang memiliki kad pengenalan palsu dan 17 orang menggunakan kad pengenalan orang lain.

“Warga asing paling ramai ditangkap adalah berasal dari Filipina iaitu seramai 27 orang,” jelas KDN dalam jawapan lisan yang tidak dijawab di Dewan Rakyat.

KDN dalam pada itu berkata, pihaknya telah mempertingkatkan kualiti MyKad berstruktur baharu seperti memastikan MyKad dibuat daripada bahan polikarbonat sepenuhnya dan telah diuji ketahananya di makmal.

“Cip MyKad Struktur Baharu melalui beberapa peringkat pengujian termasuklah sebelum proses memasukkan cip ke dalam MyKad.

“Turisan laser pada nama, nombor kad pengenalan dan gambar kecil (ghost image) yang tidak membolehkan maklumat dipinda dan sekiranya terdapat pindaan, pindaan tersebut dapat dikesan dengan mudah dan pantas,” jelas KDN lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast