KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim harus dikenang sebagai seorang tokoh korporat yang sangat prihatin terhadap rakyat khususnya bumiputera semasa berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau terkesan dengan pemergian Abdul Khalid yang mengusulkan idea membantu bumiputera termiskin melalui Skim Pinjaman Amanah Sham Bumiputera kepada Rakyat Termiskin bermula dengan RM700 juta dilancarkan di Baling, Kedah yang kesudahannya mengubah kehidupan kira-kira 140,000 rakyat Malaysia pada 1992.
“Walaupun berlainan institusi pembelajaran, saya rasa sangat terkesan dengan pemergiannya. Dia datang dengan idea membantu bumiputera termiskin yang dianggap Program Amanah Saham Bumiputera Termiskin yang dilancarkan di seluruh negara dan berpangkalan di Baling.
“Ini agak lain berbanding program biasa yang dibuat kerajaan sekarang yang menggunakan agensi baharu, kemudian pihak pengurusan bergaji tinggi dan kos pengurusan yang tinggi.
“Tapi dahulu sewaktu melaksanakan program itu, kita menggunakan agensi sedia ada dengan wang dana dari Bank Negara sebagai pinjaman kepada setiap keluarga bumiputera di seluruh negara dengan setiap satunya menerima pinjaman RM5,000”
“Kita tidak boleh terlepas dari mengenang sosok tokoh profesional ini, seorang pengurus yang berbeza dari yang dikenali sekarang,” katanya ketika ditemui selepas hadir bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara hari ini.
Kedua-dua mereka mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Khalid yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
Kata Presiden PKR itu, pemergian Abdul Khalid juga dirasai lebih-lebih lagi mengenangkan allahyarham salah seorang penyokong tegar parti ketika di zaman reformasi.
“Sewaktu menjadi MB, beliau memiliki pengurusan dana yang sangat cekap dan basis, lebih prihatin terhadap rakyat yang terkesan dalam bidang ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette.
Bukan korang kah yg singkirkan TS Khalid sebagai MB Selangor???