Bangunan OPEC di Vienna. foto Reuters

SINGAPURA – Harga minyak turun dalam dagangan hari ini apabila pelabur bersiap sedia dengan Mesyuarat OPEC dan pengeluar utama lain pada minggu ini bagi pelarasan bekalan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent turun AS$0.63 atau 0.6% kepada AS$103.34 setong pada 0000 GMT.

Minyak mentah West Texas Intermediate Amerika Syarikat (AS) berada pada AS$97.87 setong, turun AS$0.75 atau 0.7%, selepas mencecah sesi rendah AS$97.55 apabila dagangan dimulakan di Asia.

Kedua-dua kontrak melantun semula lebih daripada AS$2 setong pada hari Jumaat apabila selera risiko bertambah baik dalam kalangan pelabur.

Bagaimanapun, kedua-dua Brent dan WTI mengakhiri bulan Julai dengan kerugian bulanan kedua berturut-turut buat kali pertama sejak 2020, apabila inflasi dan kadar faedah yang lebih tinggi meningkatkan kebimbangan kemelesetan yang akan menghakis permintaan bahan api.

Penganalisis ANZ berkata, jualan bahan api kepada pemandu di Britain semakin berkurangan, manakala permintaan petrol kekal di bawah purata lima tahun untuk tahun ini.

Mengambarkan situasi ini, penganalisis dalam tinjauan pendapat Reuters menurunkan buat kali pertama sejak April lali unjuran purata harga Brent bagi tahun ini kepada AS$105.75 setong dan kepada AS$101.28 untuk WTI.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu termasuk Rusia, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai OPEC+, akan bertemu pada hari Rabu ini untuk memutuskan pengeluaran September.

Dua daripada lapan sumber OPEC+ dalam tinjauan Reuters berkata, peningkatan sederhana bagi September akan dibincangkan pada Mesyuarat 3 Ogos, manakala selebihnya berkata, pengeluaran berkemungkinan stabil.

Pertemuan itu diadakan selepas Presiden AS, Joe Biden melawat Arab Saudi bulan lalu.

“Walaupun lawatan Presiden Biden ke Arab Saudi tidak menghasilkan penghantaran minyak serta-merta, kami percaya bahawa Arab Saudi akan meningkatkan pengeluaran secara beransur-ansur,” kata penganalisis RBC Capital Helima Croft dalam nota penyelidikan.

Permulaan bulan Ogos menyaksikan OPEC+ mempunyai rekod pemotongan keluaran sepenuhnya sejak pandemik Covid-19 berlaku pada 2020.

Setiausaha Agung baharu kumpulan itu Haitham al-Ghais mengulangi pada Ahad bahawa keanggotaan Rusia dalam OPEC+ adalah penting untuk kejayaan perjanjian itu, lapor akhbar Alrai Kuwait.

Sementara itu, pengeluaran minyak AS terus meningkat apabila bilangan pelantar meningkat sebanyak 11 pada bulan Julai, meningkat untuk rekod bulan ke-23 berturut-turut, menurut data dari Baker Hughes. – Reuters