Rodziah Ismail

SHAH ALAM – Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar & Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail kesal dengan tuduhan Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail yang mendakwa projek Taman Air Manis di Sabak Bernam terbengkalai.

Dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) petang ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga itu berkata, sehingga kini 30 peratus projek tersebut berjalan lancar dengan enam daripada lapan projek dijangka selesai akhir tahun ini.

“Sungai Air Tawar ini bercakap seolah tidak turun padang. Sebab bila dia bercakap mengenai isu Taman Air Manis, beliau menyatakan janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah dilaksanakan.

“Sedangkan, selepas sidang DUN 2020, kita terus adakan mesyuarat dan sekarang ini projek itu telah pun 30 peratus berjalan dengan baik.

“Semua kelulusan di zaman dulu Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah lakukan, telah pun mendapat kelulusan (bawah PH), dokumen itu lengkap,” katanya hari ini.

Beliau berkata, semua kebenaran merancang, pelan bangunan Fasa 1, Fasa 2, pelan tanah, sistem perparitan telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempat (PBT) kawasan itu.

“Sekarang ini, tolong turun padang, tengok dan saksikan sendiri projek ini yang sedang berjalan dengan lancar dan kebenaran merancang ini pada 31 Mei lalu telah pun lulus.

“Ketua Pembangkang boleh saksikan sebanyak 183 unit Rumah Idaman jenis teres satu tingkat berkeluasan 20 kaki kali 70 kaki, manakala pelan bangunan bagi meliputi 54 unit Rumah Idaman MBI telah diluluskan dan dalam pelaksanaan.

“Saya dengar dengan tekun dan Sungai Air Tawar selaku Ketua Pembangkang berhujah, saya rasa terkilan kalau ada perkara yang sebenarnya dibuat dengan betul, dinafikan,” katanya.

Menurut Rodziah, beliau boleh menerima teguran, tetapi kalau kenyataan itu salah fakta, perlu sedikit teguran diberikan kepada pembangkang kerana ia akan melibatkan salah faham oleh rakyat kepada kerajaan sekarang. – MalaysiaGazette