Ronnie Liu

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu nyaris dirujuk ke Jawatankuasa Khas dan Kebebasan kerana mengganggu sesi Exco menjawab pertanyaan soalan mulut.

Cadangan itu dikemukakan Elizabeth Wong (PKR-Bukit Lanjan) kerana tidak berpuas hati dengan Ronnie mengganggu jawapan daripada Exco Infrastruktur dan Pertanian, Ir. Izham Hashim berhubung projek tanaman jagung bijirin di Kuala Langat.

Ronnie bertanyakan sama ada kerajaan akan menghentikan projek itu yang dilaksanakan di kawasan hutan, bukan di tanah pertanian yang sesuai, memandangkan bekalan ayam di pasaran sudah pulih dan berlebihan.

Namun, Ir. Izham menyatakan projek tersebut akan diteruskan sekurang-kurangnya menyumbang sedikit kepada kebergantungan negara mengimport jagung bijirin untuk ayam.

Ir. Izham: Pelik betul soalan Sungai Pelek ni (ketawa)

Ronnie: Apa yang pelik… sudah ada rancangankan

Ir. Izham: Beginilah YB, jagung ini kita import hampir keseluruhan, sedikit saja yang kita usahakan (tanam) sendiri

Ronnie: Saya bukan…

Elizabeth Wong: Tuan Speaker, Peraturan Tetap 24 (4) seorang tidak boleh menggunakan masa pertanyaan untuk membahas.. saya rasa cukuplah YB Sungai Pelek mencelah.

Roninie: Apa marah-marah

Elizabeth Wong: Sungai Pelek adalah YB yang sangat senior, jangan guna masa pertanyaan untuk membahas

Ronnie: Saya tanya, apakah kerajaan akan meneliti, mengapa gunakan tanah hutan, guna tanah yang sesuailah.

Izham: Yang jaga hutan kena tanya Exco jaga hutan, tetapi tempat ini (tanam jagung) ini 30 peratus kita akan tanam semula dengan pokok hutan dan sebahagiannya untuk pertanian, memang dibenarkan perundangan. Jagung ini pula kita tengok kesesuaian, kalau tak sesuai, (tanam) tempat mana pun tak sesuai.

Elizabeth Wong: Tuan Speaker, saya akan rujuk Sungai Pelek kepada Jawatankuasa Khas dan Kebebasan kalau beliau tidak berhenti mengganggu.

Ir. Izham kemudian meneruskan sesi menjawab dengan menyatakan, kerajaan memerlukan kira-kira 4 juta tan jagung bijirin untuk ayam, yang mana sebelum pandemik Covid-19, harga bagi 1 tan sekitar RM1,000.

“Sekarang, untuk makluman YB, harga jagung bijirin bagi 1 tan ialah RM2,600. Kalau dulu kerajaan belanjakan RM3.3 bilion, saya jangka tahun ini naik sehingga RM7 bilion untuk import,” katanya.

Beliau juga bertikam lidah dengan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kerana masih tidak berpuas hati dengan teknologi lama digunakan kerajaan negeri bagi kaedah pelupusan sampah.

Tindakannya turut disindir oleh Amirudin kerana Ronnie didapati tidak mengikut peraturan dan berkeraskan suara kerana tidak diberi peluang untuk bertanyakan soalan.

Ketika ini Speaker DUN, Ng Suee Lim membuat ketetapan kepada semua ADUN agar mengikut peraturan Dewan ketika seseorang Exco atau Menteri Besar menjawab soalan.

Suee Lim menegur Ronnie supaya tidak membuat malu dalam sidang DUN dan menunjukkan kelakukan yang baik.

Ronnie: Siapa yang memalukan? Speaker? Beri masa tiga minit kepada saya untuk berbahas, mana cukup.

Exco Industri dan Perdagangan negeri, Datuk Teng Chang Khim kemudian bangun minta Speaker membuat sesuatu ke atas Sungai Pelek kerana telah mengganggu dan mengelirukan Dewan dengan dakwaan diberi masa tiga minit.

Bagaimanapun, Ronnie mengakui dakwaan itu sebagai tidak benar dan menarik balik tuduhan berkenaan.

Suee Lim kemudian meminta Ronnie jangan menjadi hero dan tunjuk perangai baik, agar beliau tidak menggunakan peraturan yang lebih berat.

Ronnie: Ini bukan nak jadi hero. Ini soal rakyat.

Suee Lim: Saya tahu ini perangkap YB untuk saya halau dia keluar Dewan dan dia akan dapat publisiti besar-besaran dari media. Ini taktik pembangkang (BN), tetapi digunakan oleh YB kerajaan. Memang pelik Sungai Pelek ni. – MalaysiaGazette